Anda di sini

Penggunaan bekalan air berjaya dikurangkan 331 juta liter sehari

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kadar penggunaan bekalan air bersih berjaya dikurangkan sebanyak 331 juta liter sehari (JLH) hasil daripada pelaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga di sembilan wilayah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam satu kenyataan di sini semalam berkata kadar penggunaan air secara keseluruhan kini adalah sebanyak 4,369 JLH berbanding dengan pengeluaran biasa dalam lingkungan 4,700 JLH.

SYABAS juga memaklumkan bahawa tiada penghantaran bekalan air melalui lori-lori tangki atau tangki air statik di semua kawasan catuan kerana pelan catuan yang dijalankan merupakan pelan yang menghadkan bekalan air mengikut jadual yang ditetapkan.

Bagaimanapun pertimbangan untuk menghantar bekalan air kecemasan dilakukan mengikut keutamaan seperti upacara kematian, kenduri dan pusat dialisis.

Para pengguna juga diharapkan agar memberikan kerjasama dalam usaha mengurangkan penggunaan bekalan air dan terus berjimat bagi membolehkan bekalan air dapat bertahan lebih lama.

Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama dan Ketiga dilaksanakan susulan dari keputusan Kerajaan Negeri Selangor mengurangkan perlepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor sebanyak 500 JLH dan empangan Klang Gates sebanyak 30 JLH. — Bernama

Advertisement