Anda di sini

Pembangunan semula 658 unit kediaman 1Razak Mansion bermula April

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pembangunan semula perumahan awam 1Razak Mansion di Sungai Besi di sini melibatkan 658 unit kediaman akan bermula pada April ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pembangunan semula melibatkan kos sebanyak RM150 juta, akan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Syarikat Impianika Development Sdn Bhd.

Katanya setiap unit baharu akan mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan 800 kaki persegi (kps), berbanding unit lama yang hanya mempunyai satu dan dua bilik pada keluasan 399 kps.

Beliau berkata anggaran nilai pasaran setiap unit baharu itu adalah sebanyak RM250,000, iaitu tiga hingga empat kali ganda lebih tinggi daripada nilai pasaran unit kediaman yang lama.

“Penduduk menerima unit kediaman baharu melalui konsep gantian dari unit lama kepada baharu dengan kos rendah dan ia tidak mungkin ada di mana-mana kawasan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan cabutan undi bagi unit baharu perumahan berkenaan semalam.

Beliau berkata penduduk di perumahan itu yang sebilangan besarnya masyarakat Cina memberi reaksi positif terhadap projek pembangunan semula itu.

Perumahan Awam Razak Mansion, yang dibina pada zaman pemerintahan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, lebih 40 tahun lepas adalah bagi menempatkan golongan berpendapatan rendah.

Ketika itu kebanyakan rumah pangsa dibina hanya memiliki satu bilik bagi melaksanakan dasar kerajaan melalui Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) untuk menempatkan semula setinggan.

Selain itu, Tengku Adnan berkata kemudahan sekitar perumahan itu juga akan dibangunkan semula dengan melibatkan keluasan yang lebih besar, antaranya dewan orang ramai, tadika, surau, pondok polis, kedai dan bilik pengurusan mayat. — Bernama

Advertisement