Anda di sini

Lions XII kaku di Stadium Negeri

Advertisement

ASAKAN: Gabor Gyepes diasak pemain Lions XII, Mohammad Faritz Abdul Hameed pada perlawanan Liga Super di Stadium Negeri Kuching malam Sabtu lalu berkesudahan Sarawak menang 3-1.

Sarawak benam anak buah Fandi Ahmad 3-1 dengan barisan pemain tempatan tanpa penyerang import

KUCHING: Biarpun bermain tanpa penyerang import, Sarawak tidak menghadapi masalah besar untuk membenam pasukan Lions XII pada saingan Liga Super 2014 malam kelmarin.

Beraksi di Stadium Negeri di sini, skuad Ngap Sayot hanya bergantung kepada pemain tempatan untuk mengasak kubu lawan.

Pencaturan ketua jurulatihnya, Robert Alberts ternyata membuahkan hasil apabila anak-anak buahnya mendominasi perlawanan dan melancarkan serangan bertali arus.

Dalam keadaan hujan turun tanpa henti, jentera serangan Sarawak yang diterajui Joseph Kalang Tie dan Mohd Rashid Aya sering mengasak kubu Lions XII memaksa pasukan pelawat bekerja keras menangkis serangan mereka.

Usaha Joseph bersama rakan sepasukan akhirnya membuahkan hasil apabila S. Chanturu menjaringkan gol pertama pada minit ke-16 selepas menerima lontaran jauh Ronny Harun.

Pasukan pelawat yang sekali-sekala melancarkan serangan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-35 menerusi tandukan Nazrul Nazari.

Selepas jaringan penyamaan itu, anak-anak buah Fandi Ahmad semakin bernafsu untuk merobek gawang Sarawak namun kekentalan pertahanan pasukan tuan rumah banyak menggagalkan usaha mereka.

Bagaimanapun, serangan pantas Sarawak pada minit ke-40 membolehkan Chanturu menjaringkan gol peribadi keduanya dalam perlawanan itu selepas menerima lorongan cantik daripada Lot Abu Hassan.

Babak kedua perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan tuah terus memihak kepada Sarawak apabila berjaya menambahkan jaringan.

Kali ini Mohd Rashid Aya mencetak jaringan ketiga Sarawak pada minit ke-75 selepas menerima hantaran cantik daripada Mohd Hairol Mokhtar.

Keputusan itu meletakkan Sarawak melonjak ke tangga ketiga di belakang Terengganu dan Kelantan.

Alberts yang ditemui selepas perlawanan ternyata gembira dengan keputusan itu biarpun mengakui secara keseluruhan perlawanan berlangsung dalam keadaan hujan.

“Keputusan ini menakjubkan biarpun beraksi dalam hujan. Saya gembira dengan prestasi semua pemain yang berjaya menyerapkan pelbagai tekanan,” katanya.

Alberts berkata, jentera pertahanannya juga menampilkan prestasi terbaik dalam mempertahan kubu mereka daripada asakan lawan.

Sebelum per lawanan, ribuan penyokong Sarawak dan pemain kedua-dua pasukan bertafakur seminit untuk keselamatan pesawat MH370.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Sarawak akan bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 22 Mac (Sabtu) menentang Pahang.

Advertisement