BATU KAWAN: Kayuhan Merdeka 2014 yang disertai 10,000 peserta berjaya mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menerima jumlah peserta paling ramai dalam acara yang julung kali diadakan di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS).
Rekod itu diumumkan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di hadapan peserta selepas berjaya menamatkan ekpedisi kayuhan sejauh 46 kilometer itu.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Farizan Darus, berkata pihaknya bangga dengan penganjuran acara berkenaan yang sekali gus dapat melonjakkan nama jambatan baru itu supaya lebih dikenali.
Katanya acara kayuhan itu bukan saja disertai peserta tempatan malah terdapat juga peserta dari Singapura, Thailand, Hong Kong dan Taiwan yang turut memeriahkan acara berkenaan “Rakyat Pulau Pinang harus rasa bangga apabila mempunyai jambatan baharu yang dapat merapatkan hubungan dengan negara lain melalui penganjuran acara seperti ini.
“Selain bertuah kerana berpeluang berkayuh buat kali pertama kerana pengguna basikal tidak dibenarkan melalui jambatan itu, peserta berpeluang mengenali antara satu sama lain dan menghayati keindahan yang terdapat di atas jambatan itu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian yang diadakan di Stadium Batu Kawan, di sini hari ini.
Farizan berkata acara berkenaan akan dijadikan sebagai acara tahunan pada masa akan datang memandangkan penyertaan dan komitmen yang menggalakkan daripada peserta.
Sementara itu, Pengerusi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) Tan Sri Sulaiman Mahbob berharap acara kayuhan itu diteruskan dalam usaha memperkenalkan jambatan baharu itu di seluruh dunia.
Jambatan sepanjang 24 km itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 Mac lalu dan mula digunakan orang awam jam 12.01 pagi, sehari kemudian. — Bernama