Anda di sini

Jurutera ada kaitan tugas dengan MH370 disiasat

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat para jurutera pesawat yang mempunyai kaitan tugas dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebelum pesawat itu berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, Sabtu lepas.

“Sebagai prosedur biasa, polis sedang menyiasat semua anak kapal dan penumpang MH370 serta jurutera,” kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan di sini semalam.

Pesawat jenis Boeing 777-200ER dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 pagi Sabtu.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapal belum diketahui berikutan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan oleh beberapa negara masih belum menemui pesawat tersebut.

Mengenai operasi SAR, Hishammuddin berkata pegawai Malaysia sedang meminta bantuan daripada 15 negara di dua koridor iaitu Koridor Utara dari utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan dan Koridor Selatan dari utara Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Beliau berkata negara-negera berkenaan ialah Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, China, Myanmar, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia, Australia dan Perancis.

“Pegawai Malaysia sedang berbincang dengan semua rakan kongsi cara terbaik untuk menggunakan aset di sepanjang dua koridor tersebut,” katanya. — Bernama