Anda di sini

JKNT perluas rawatan katarak bergerak ke daerah Marang

Advertisement

MARANG: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memperluaskan perkhidmatan Klinik Rawatan Katarak Bergerak 1Malaysia (KK1M) di Terengganu dan kini mula memasuki daerah Marang.

Pengarah Kesihatan Terengganu Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata langkah yang dilakukan ini bagi mencegah dan mengawal kebutaan yang dapat dielakkan khususnya bagi penyakit katarak, rabun penglihatan dan penyakit retina.

Katanya KK1M ini akan berada di daerah Marang selama dua minggu sebelum bergerak ke Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Setiu serta Besut sebelum bas ini diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan pada 26 Mei ini.

“Bas bergerak yang berkelengkapan penuh bagi tujuan saringan katarak, rabun penglihatan, glaukoma dan diabetic retinopathy dan akan menjelajah di 18 buah klinik kesihatan di negeri ini.

“Menerusi ujian saringan yang dijalankan kita akan mengesan pesakit yang mempuyai masalah seperti berikut sebelum dirujuk ke Hospital bagi membuat pembedahan mahupun rawatan susulan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan klinik rawatan katarak di Marang semalam.

Dr Anwa berkata KK1M ini mula beroperasi di daerah pertama iaitu Kemaman

pada 13 Feb dan menerusi ujian saringan yang dijalankan pihaknya berjaya mengesan 194 orang yang perlu menjalani ujian saringan kedua namun hanya 158 orang yang hadir.

Katanya hasil pemeriksaan berkenaan 17 pesakit dikesan perlu melakukan pembedahan katarak bagaimanapun hanya tujuh orang sahaja yang menjalani katarak dua orang menjalani pembedahan pterygium manakala baki yang lain tidak menjalani pembedahan kerana beberapa faktor masalah perubatan.

“Kita harap dengan adanya kemudahan perkhidmatan KK1M ini masyarakat dapat mengambil peluang untuk tampil membuat ujian saringan penglihatan supaya dapat mencegah dan mengawal kebutaan yang boleh dielakkan seperti katarak, rabun penglihatan dan penyakit retina,” katanya.

Beliau berkata lazimnya orang ramai yang berusia sekitar 40 tahun ke atas paling ramai yang membuat pemeriksaan masalah berkenaan.

Jelasnya pembedahan katarak yang dilakukan di Hospital ini hanya menelan kos sebanyak RM103. — Bernama

Advertisement