Anda di sini

Jambatan Samarahan alami masalah teknikal: Fadillah

Advertisement

BAKAL TINGGAL KENANGAN: Jambatan baharu Batang Samarahan dijangka akan dibina berhampiran Pangkalan Feri Samarahan.

Penender kemuka nilai tinggi daripada peruntukan diluluskan

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Kerja Raya sedang berusaha keras memastikan projek pembinaan Jambatan Batang Samarahan dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Menterinya Datuk Fadillah Yusof berkata, projek itu kini mengalami masalah teknikal berkaitan tender ekoran kebanyakan penender mengemukakan nilai yang tinggi sekali gus melebihi peruntukan yang telah diluluskan.

Beliau menjelaskan bahawa peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam belanjawan lalu untuk pembinaan jambatan itu adalah sebanyak RM150 juta namun kesemua penender meletakkan harga melebihi RM200 juta.

“Saya mengharapkan ia (projek pembinaan Jambatan Batang Samarahan) akan dimulakan tahun ini, setakat ini saya melihat syarikat yang mengemukakan tender harganya melebihi harga yang dianggarkan oleh jabatan.

“Oleh itu, kita merujuk semula kepada MOF untuk memaklumkan bahawa harga diletakkan penender terlalu tinggi dan kita akan mengadakan perundingan untuk menentukan harga di antara syarikat yang menyerah tender itu atau tindakan lain yang perlu dilakukan atau kita buka tender baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis penangguhan Program Armada Pemuda PBB bertema ‘Nang Kamboh’ di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini malam kelmarin.

Fadillah berkata jambatan yang akan menghubungkan daerah Asajaya dan Kota Samarahan dengan tempoh perjalanan lebih singkat itu, akan dibina berhampiran Pangkalan Feri Samarahan.

“Kita ada masalah teknikal yang perlu diselesaikan dengan MOF terlebih dahulu, jambatan ini dibina tidak jauh dari Pangkalan Feri Samarahan,” tambahnya.

Terdahulu dalam ucapannya Fadillah berkata dengan terbinanya Jambatan Samarahan nanti, ia akan merancakkan lagi pembangunan di dua daerah itu.

“Lebih banyak pembangunan akan dapat dibawa di kawasan ini dengan lebih lancar dan berkesan apabila adanya jambatan ini nanti yang pastinya meningkatkan ekonomi pendapatan penduduk setempat,” ujarnya.

Advertisement