Anda di sini

Dayak perlu ubah cara pemikiran dalam segala aspek kehidupan

Advertisement

SRI AMAN: Masyarakat Dayak perlu mengubah cara pemikiran dalam segala aspek kehidupan jika ingin mencapai kemajuan, kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis.

Menurut beliau, dalam dunia serba moden kini, masyarakat Dayak perlu bergerak pantas seiring dengan masyarakat lain agar sama-sama dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

“Perubahan minda daripada yang lama kepada yang baharu adalah penting bagi masyarakat Dayak sekiranya ingin maju seperti masyarakat lain.

“Cabaran zaman moden menuntut kita menerokai pelbagai bidang dan tidak boleh bergantung hidup kepada satu bidang sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ketua Masyarakat Iban Daerah Sri Aman di Dewan Suarah dekat sini kelmarin.

Katanya masyarakat Dayak harus mencontohi kaum Cina dan Melayu yang maju dalam banyak bidang khususnya perniagaan.

Dalam pada itu, Harden turut mengingatkan rakyat agar berfikiran terbuka dan menyokong dasar-dasar pembangunan yang telah dan bakal dilaksanakan kerajaan agar negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Jelasnya, sokongan padu rakyat daripada pelbagai parti komponen Barisan Nasional (BN) serta rakyat berbilang kaum amat diperlukan dalam memastikan pembangunan yang dirancang berjaya direalisasikan.

“Kerajaan amat memerlukan sokongan rakyat negeri ini. Jika tiada kerjasama, program-program pembangunan yang dirancang pasti sukar menjadi kenyataan.

“Justeru, rakyat harus bijak memilih pucuk kepimpinan yang betul-betul berupaya membangunkan mereka, tidak mengira di kawasan bandar mahupun di luar bandar.

“Kini, rakyat negeri ini telah sedar dan mahukan pembangunan berterusan. Oleh itu, sokongan rakyat kepada kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah pilihan terbaik,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengerusi Persatuan Pemanca Samuel Lawen, Temenggung Sii Toh Peng, Penghulu Lee Siang Hua, Penghulu Michael John dan Penghulu Briku Busang.

Advertisement