Anda di sini

Bangunan baharu SK Long Sukang hampir siap

Advertisement

Bangunan Dewan Makan

KEMUDAHAN: Pemandangan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan Asrama Perempuan, Dewan Makan dan Asrama Lelaki.

Merangkumi bangunan asrama lelaki, asrama perempuan, dewan makan, bangunan setingkat prasekolah

LAWAS: Tidak ada apa yang lebih menggembirakan murid dan ibu bapa selain mendapat khabar mengenai sekolah baharu yang kini hampir siap pembinaannya bagi menggantikan sekolah sedia ada di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang.

Dengan keadaan sekolah lama yang agak uzur, ia memerlukan bangunan serta kemudahan baharu untuk kegunaan murid termasuk bilik darjah dan bangunan asrama yang lebih cantik.

Sekolah baharu itu telah menerima Sijil Siap Kerja Praktikal (CPC) pada hari pemeriksaan oleh pihak berkuasa, baru-baru ini.

Kesemua bangunan serta bahagian di sekolah itu hampir siap dibina, merangkumi asrama lelaki dan perempuan, dewan makan serta bangunan setingkat bagi prasekolah.

Namun, kerja-kerja pembinaan yang dijalankan di blok utama sekolah terpaksa dihentikan berikutan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Pengarah Projek Naim Engineering Sdn Bhd (Naim) Siti Munirah berkata, sebagai kontraktor yang bertanggungjawab dalam pembinaan bangunan baharu SK Long Sukang, mereka menerima arahan daripada klien untuk menghentikan kerja pembinaan.

“Kami menerima arahan daripada pihak klien untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan kerana kegagalan cerun serta tapak tanah yang tidak stabil,” katanya.

Tapak alternatif bagi menggantikan tapak lama bagi blok utama bangunan sekolah telah dikenal pasti dan murid-murid boleh mula menggunakan bangunan asrama serta kemudahan lain yang telah siap dibina.

SK Long Sukang boleh memulakan operasi persekolahan dengan menggunakan bangunan baharu itu sejak dari awal lagi, namun berikutan sedikit masalah sehingga terpaksa menghentikan kerja pembinaan mempengaruhi waktu operasi sekolah terbabit.

Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk memastikan projek pembinaan itu berjalan lancar, Naim memutuskan untuk ‘menyelamatkan’ projek itu demi kebaikan murid-murid di situ.

Meskipun ibu bapa terpaksa menunggu agak lama untuk pembinaan bangunan sekolah itu siap, namun mereka tetap berasa gembira dan lega kerana anak-anak akhirnya dapat bersekolah di sekolah baharu yang lebih selesa.

Hustina Balang, 30, yang menghantar dua anaknya ke sekolah itu berharap bangunan baharu itu kelak akan dapat digunakan secepat mungkin memandangkan bangunan lama sudah tidak kondusif untuk anak-anak.

“Sebagai contoh, asrama murid lelaki dan perempuan berada dalam keadaan usang dan sesak.

“Justeru, saya berharap pembinaan bangunan asrama baharu dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan membolehkan mereka berasa selesa menjalani aktiviti harian di sekolah,” katanya ketika ditemui.

Hustina menambah, dia khuatir dengan keadaan beberapa bahagian bangunan sekolah yang telah uzur dan sudah tidak selamat untuk anak-anak.

Berkongsi harapan yang sama dengan Hustina, Lipang Tadam, 62, yang mempunyai tiga cucu yang belajar di sekolah tersebut berkata, meskipun kecewa dengan kontraktor asal kerja pembinaan projek tersebut sebelum diambil alih oleh Naim, dia meletakkan keyakinan tinggi agar Naim dapat menyiapkan projek itu dengan baik.

“Kami juga berasa cemas dan sangat berharap agar sekolah baharu itu kelak akan menggembirakan anak-anak dan cucu-cucu kami di sini,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Long Sukang Balang Asi, 77, ketika ditemui berkata dengan siapnya sekolah baharu itu kelak, kampung tersebut akan kelihatan seperti sebuah bandar.

“Saya pergi ke sana beberapa kali untuk melihat kemajuan sekolah.

“Kadang-kadang saya bertanya kepada pekerja di sana mengapa mereka mengambil masa begitu lama untuk membina sekolah itu kerana semua penduduk meletakkan harapan tinggi kepada pembinaan sekolah itu,” katanya sambil menghargai pihak Naim yang telah ‘menyelamatkan’ projek tersebut.

Selain ‘menyelamatkan’ SK Long Sukang, Naim turut ‘menyelamatkan’ dua sekolah lain iaitu SK Menuang dan SK Limbang di Limbang.

Ia mendapat respons positif daripada ibu bapa dan murid setempat yang memulakan sesi persekolahan di sekolah baharu sejak 2 Januari lepas.

Jurucakap guru sekolah itu berkata, sekolah baharu itu mempunyai 472 murid termasuk murid prasekolah dan 43 guru dan bangunan sekolah lama sudah tidak dapat menampung jumlah sedia ada.

“Dengan sebilangan besar murid, sekolah baharu ini adalah lebih baik dan kami mempunyai bilik darjah yang cukup untuk pelajar,” katanya.

Sementara itu, Siti Munirah menjelaskan bahawa SK Menuang, SK Limbang dan SK Long Sukang yang menjadi sebahagian daripada projek kerja-kerja pembinaan yang diperuntukkan kepada syarikat lain turut menjadi rakan usaha sama kontrak Naim.

“Di bawah pakej kerja-kerja bersama yang dianugerahkan oleh pelanggan, Naim telah diperuntukkan lapan projek sekolah manakala syarikat lain telah diperuntukkan lima.

“Walaupun kami menyiapkan sekolah di bawah skop kami, rakan kongsi kami mempunyai isu-isu yang berkaitan dengan prestasi berhubung tiga sekolah daripada lima di bawah kontrak mereka termasuk SK Long Sukang, SK Menuang dan SK Limbang.

“Oleh itu, sekolah-sekolah ini dikategorikan sebagai projek ‘sakit’ oleh klien, “ kata Siti .

Siti berkata Naim telah mengambil keputusan untuk ‘menyelamatkan’ sekolah-sekolah yang terlibat bagi kepentingan sekolah dan murid.

“Kami mengambil alih kawalan ke atas semua aktiviti bermula Julai 2013.

“Kami menghadapi banyak cabaran selepas mengambil alih seperti ganti rugi lama, hutang lama serta subkontraktor yang tidak berpuas hati, namun kami telah menanganinya untuk kebaikan bersama,” tambahnya.

Siti Munirah mendedahkan bahawa Naim mencatat kemajuan kerja yang baik sejak itu.

“Daripada tiga sekolah, kami berjaya mendapatkan CPC untuk kedua-dua sekolah iaitu SK Menuang dan SK Limbang pada 28 November 2013, lebih awal daripada yang dijangkakan iaitu pada 31 Disember tahun yang sama.

“SK Long Sukang pula telah menjalani pemeriksaan amali oleh klien dan pegawai atasan sekali gus mendapat CPC pada hari Isnin (hari ini) dan segalanya berjalan dengan begitu baik,” katanya.

Advertisement