Anda di sini

Bahang panas selamatkan budak perempuan daripada rentung

Advertisement

DIJILAT API: Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di tingkat atas sebuah rumah di Perumahan Ranggau di Limbang, pagi semalam.

LIMBANG: Bahang panas akibat api merebak di tingkat atas sebuah rumah berjaya mengejutkan dan menyelamatkan seorang budak perempuan daripada rentung dalam kebakaran di Perumahan Ranggau, di sini pagi semalam.

Mangsa Nurliana Erdina Razedy, 11, ketika kejadian sedang tidur namun terjaga akibat bahang api panas di tingkat atas rumah mereka dalam kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi.

Sebaik melihat api semakin merebak, dia segera bergegas turun ke tingkat bawah sambil menjerit dan memanggil ibunya yang sedang mandi di bahagian bawah.

Menurut ibu mangsa, Nur Fazreena Abdullah, 40, ketika kejadian dia baharu hendak mandi dan terkejut mendengar bunyi letupan kecil.

“Pada mulanya saya tidak pasti dari mana arah bunyi letupan tersebut.

“Selepas melihat anak saya panik turun tangga, baharu saya sedar api sedang merebak di bahagian atas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Nur Fazreena berkata, mereka cuba memadam api daripada merebak namun tidak terdaya kerana keadaan api semakin marak.

“Kami anak-beranak juga tidak sempat menyelamatkan semua dokumen penting termasuk kad pengenalan yang disimpan di bahagian atas rumah selain perabot lain yang berada di bahagian atas,” jelasnya.

Beliau turut menjerit meminta tolong daripada jiran terdekat dan hanya sempat membawa barang berharga di bahagian tingkat bawah rumahnya.

Ditanya mengenai jumlah kerugian akibat kebakaran itu, beliau berkata masih belum dipastikan namun reda dengan musibah yang berlaku dan bersyukur tiada kehilangan nyawa dan hanya kerosakan harta benda.

Ketua Operasi Memadam Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang Bonny Martin berkata panggilan diterima kira-kira jam 9.44 pagi dan jentera bertolak seminit kemudiannya.

“Seramai 11 anggota membabitkan sebuah jentera dan van tiba di lokasi kejadian jam 9.54 dan api dikawal daripada merebak dalam tempoh dua minit dan api berjaya dikawal sepenuhnya 10 minit kemudian,” katanya.

Bonny berkata pihaknya masih menyiasat punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu.

Advertisement