Anda di sini

14 individu masuk hospital kerana dadah

Advertisement

Seramai 29 individu pelbagai warganegara pula ditahan ketika konsert FMFA 2014

KUALA LUMPUR: Seramai 14 individu kini dirawat di hospital akibat pengambilan dadah ketika menghadiri konsert Festival Future Music Asia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras, Mohan Singh Tara Singh berkata, kelmarin hanya dua individu dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), namun pagi semalam seorang daripada mereka telah keluar dan sembilan lagi dimasukkan semalam ke PPUM.

“Oleh itu, jumlah individu yang dimasukkan ke hospital meningkat hari ini (semalam)  kepada 14 orang, di mana tiga individu dirawat di Hospital Kuala Lumpur, seorang di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan 10 orang di PPUM.

“Kesemua mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga menahan seramai 29 individu pelbagai warga yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah di konsert berkenaan.

“Daripada 29 itu, 13 warga tempatan dan 16 warga asing,” katanya.

Mohan Singh berkata, pengunjung konsert berkenaan juga memahami keadaan dan mereka (pengunjung) juga tidak melakukan sebarang kekecohan akibat pembatalan konsert berkenaan kelmarin.

Bagaimanapun beliau berkata, kesemua yang ditahan itu direman sehingga Selasa ini.

Awal pagi kelmarin (Sabtu), enam orang, termasuk tiga wanita, meninggal dunia akibat penggunaan dadah selepas mengalami sesak nafas ketika menonton konsertFMFA.

Enam orang yang meninggal dunia itu adalah warga tempatan berumur 19 hingga 28 tahun.

Mereka ialah Kamal Zekry Kamal Basha, 22, Victor Wong E Hern, 26, Sabreena Kamaruddin, 21, M.Suresh, 28, Syazana Sohaime, 23, dan Nor Faizza Mohd Wazir, 27. — Bernama

Advertisement