Anda di sini

Ting Pengerusi Persekutuan Wushu Malaysia

Advertisement

KUCHING: Timbalan Presiden Persekutuan Wushu Sarawak (WFS) James Ting dilantik sebagai Pengerusi Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) pada mesyuarat agung tahunan (AGM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Ting, perlantikan itu sebagai menghargai sumbangan WFS dalam pembangunan wushu negara.

Bekas setiausaha WFS itu berkata, Sarawak menjadi negeri pertama mencadangkan agar wushu dipertandingkan pada SUKMA.

Susulan cadangan tersebut, wushu mula diperkenalkan pada SUKMA 2000 di Pulau Pinang.

“Kita mempunyai program pembangunan wushu terbaik di negara ini dan telah melahirkan atlet kebangsaan seperti Diana Bong dan Loh Jack Chang yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, Sarawak juga berjaya melahirkan ramai atlet wushu remaja yang turut menyinar baik di arena kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Saya merasa sangat bangga kerana diberi tanggungjawab ini dan berjanji akan membimbing WFM mencapai lebih banyak kejayaan,” jelasnya.

Menurut Ting, pemilihan beliau itu akan menjadi perangsang kepada kemajuan sukan lain di sini terutama wushu.

Sebagai rekod, Ting merupakan orang Sarawak pertama memegang jawatan pengerusi dalam WFM.

Sementara itu, Presiden WFS Datuk Seri Tiong King Sing turut mengekalkan jawatan sebagai salah seorang naib presiden WFM termasuk presiden bagi semua ahli gabungan WFM.

Dato’ Martin Lim Soon Seng dan Datuk Lim Siew San pula masing-masing mengekalkan jawatan sebagai presiden dan timbalan presiden.

Setiausaha dan bendahari pula Yong Yii Yaak dan William Chan Chin Yong.

Advertisement