Anda di sini

SPDP Repok tidak puas hati Mawan terima semula ahli G5

Advertisement

SARIKEI: Pengerusi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Cawangan Repok, Wong Siew Choo menyifatkan tindakan Presidennya, Tan Sri William Mawan Ikom yang berusaha untuk berdamai dan membawa masuk semula ahli kumpulan G5 menyertai parti sebagai membelakangkan keputusan ahli-ahli SPDP lain.

Wong berkata, sewajarnya sebelum sebarang keputusan dibuat khususnya melibatkan kepentingan parti harus dibincang serta dibawa ke peringkat mesyuarat parti terlebih dahulu khusus di kepimpinan peringkat akar umbi dan bukan hanya di peringkat Majlis Tertinggi SPDP sahaja.

“SPDP Cawangan Repok begitu kecewa dengan tindakan tersebut. Kita sedar akan kekusutan perlu dijernihkan tetapi ini bukan caranya.

“Sewajarnya sebelum sebarang keputusan dibuat berkaitan dengan parti harus dibincangkan bersama. Parti itu bukannya milik seorang sahaja tetapi milik bersama.

“Adalah wajar pendapat dan pandangan semua pihak diambil dan dipertimbangkan sebelum sesuatu keputusan dibuat melibatkan masa depan parti,” kata Wong di sini semalam.

Tambah Wong, situasi dan tindakan itu boleh menyebabkan banyak pihak tidak berpuas hati dan sekali gus menambahkan kekusutan dan menyebabkan hilang kepercayaan ahli dalam parti itu sendiri.

“Tidak dapat saya nafikan bahawa keputusan itu bukan hanya menyebabkan ketidakpuasan hati pihak SPDP Repok sahaja mungkin lebih banyak cawangan SPDP lain.

“Masalahnya mungkin mereka tidak berani menyuarakannya. Tetapi bagi saya, masalah itu adalah masalah bersama dan memerlukan tindakan sewajarnya untuk penyelesaian demi kebaikan parti dan masa depan,” tegas Wong.

Dalam perkembangan berkaitan, Mawan bersedia menerima kembali ahli kumpulan G5 menyertai SPDP semula kecuali bekas Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe yang bertindak bertanding pada Pilihan Raya Ke-13 (PRU13) lalu menjadi calon Bebas dan menentang calon Barisan Nasional (BN).

Pertimbangan tersebut dibuka kepada empat ahli G5 lain yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Peter Nansian, ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan ADUN Bekenu, Rosey Yunus.

Menurut Mawan, SPDP menerima semula G5 dalam parti itu tanpa sebarang syarat.

Advertisement