Anda di sini

Projek MRT bakal ubah landskap bandar Kajang

Advertisement

Bakal tingkatkan nilai hartanah dan aktiviti perniagaan

KAJANG: Projek Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang yang dijadual beroperasi pada Julai 2017 akan mengubah landskap pembangunan bandar Kajang, khususnya dalam menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata projek itu juga akan meningkatkan nilai hartanah dan kepesatan aktiviti perniagaan di sekitar Kajang apabila tiga daripada 31 stesen berada di daerah itu, iaitu Saujana Impian, Bandar Kajang dan Kajang.

“Dengan adanya MRT, penduduk di Kajang dan kawasan sekitarnya bakal menikmati kemudahan moden dan bertaraf dunia dan ini bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) komited menyelesaikan masalah rakyat termasuk di Kajang dan ini wajar dihargai,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan stesen MRT Kajang yang merupakan stesen terakhir bagi laluan MRT Sg Buloh-Kajang di sini semalam.

Sebelum itu, Ahmad mendengar taklimat dari Pengarah Projek MRT Corp, Marcus Karakashian. Hadir sama ialah Pengarah MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd Datuk Azmi Mat Nor dan Ketua Pengarah MRT Corp, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid.

Beliau berkata setiap stesen akan mempunyai kemudahan tempat letak kereta bertingkat yang mampu menampung 1,100 kereta dan 250 motosikal pada satu-satu masa.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata manifesto calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, yang antara lain turut memuatkan janji untuk menyelesaikan masalah lalu lintas merupakan satu ‘janji manis’ yang tidak perlu dinyatakan.

“Kenapa perlu manifesto baharu. Sepatutnya masalah ini telah lama diselesaikan kerajaan PKR Selangor…kita tak perlu manifesto, tapi BN tetap boleh menyelesaikannya,” katanya.

Ahmad berkata jika calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun diberi peluang menjadi wakil rakyat di Kajang, pembangunan di daerah itu akan berjalan berterusan hasil hubungan baik Naib Presiden MCA itu dengan kerajaan persekutuan.

Katanya pengundi harus membuat pilihan yang bijak dengan melihat rekod perkhidmatan dan pengalaman Chew yang pernah menjadi ahli Parlimen selama dua penggal, timbalan menteri dan juga setiausaha parlimen sebelum ini.

Sebanyak 39,278 pengundi layak mengundi pada hari pengundian 23 Mac ini. — Bernama

Advertisement