Anda di sini

Pasangan beregu lelaki Korea Selatan rangkul juara Tenis Remaja ITF (Gred 1)

Advertisement

KUCHING: Pasangan beregu lelaki Korea Selatan merangkul kejuaraan Kejohanan Tenis Remaja ITF (Gred 1) Piala Ketua Menteri Sarawak ke-23 yang berlangsung di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) di sini semalam.

Chung Yunseong dan Oh Chan-Yeong yang juga pilihan ketiga kejohanan mengambil masa 1:20 minit untuk menewaskan Larriere Clement/ Rakotomalala Mandresy dari Perancis dengan 6-3, 6-3.

Saingan beregu wanita menyaksikan pasangan dari Britain, Boulter Katie dan Christie Freya dinobatkan johan setelah menewaskan Buayam Kamonwan (Thailand)/ Kim Dabin (Korea Selatan).

Boulter/Christie mencatat 6-7(3), 6-2(10-8) dalam perlawanan yang mengambil masa 1:45 minit.

Dalam pada itu, perlawanan akhir perseorangan lelaki hari ini bakal menemukan pilihan pertama Korea Selatan Lee Duck Hee dan Bourchier Harry dari Australia.

Lee sebelumnya terpaksa bertarung dalam tiga set sebelum berjaya mengetepikan cabaran rakan senegara Oh Chan-Yeong dengan 3-6, 6-4, 6-4.

Sementara Bourchier yang juga pilihan kedua mudah menewaskan Zheng Weiqiang dari China dengan 6-4, 6-1.

Perseorangan wanita pula menampilkan pertemuan menarik melibatkan pemain China Xu Shilin dan peserta dari India Grende Tami.

Pilihan pertama Xu tidak berdepan sebarang masalah untuk mengatasi You Xiaodi yang juga pilihan keempat dengan 6-1, 6-1.

Manakala Grende mengejutkan peserta pilihan ketiga Boulter Katie dari Britain dengan 7-6(7), 4-1(tarik diri).

Presiden SLTA, Datuk Patrick Liew menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Advertisement