Anda di sini

NGO India kesal kerajaan P.Pinang tidak tangani masalah kaum India

Advertisement

GEORGE TOWN: Lima puluh anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau Gabungan NGO Mengenai Hal Ehwal Masyarakat India Pulau Pinang (COPINGO) semalam kesal dengan sikap kerajaan Pulau Pinang yang didakwa tidak bersungguh-sungguh menangani permasalahan masyarakat India di negeri ini.

Pengerusinya N. Ganesan berkata pihaknya telah menghantar surat kepada pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng lebih dua minggu lepas yang memperincikan enam isu melibatkan kaum India di negeri ini termasuk permohonan tanah untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batu Kawan, isu pengusiran pekerja ladang, tanah kuil dan perkuburan.

“Kami juga ada kemuka pelan cadangan untuk mengatasi masalah berkenaan.

Ketua menteri selaku pengerusi portfolio untuk hal-ehwal bukan Islam sepatutnya beri respons segera…sudah tiga penggal beliau mengetuai pentadbiran negeri ini jadi kami mahu perubahan yang dijanjikan,” katanya kepada pemberita dalam demonstrasi aman di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini semalam.

Kumpulan itu berarak hampir 1 kilometer bermula jam 11.30 pagi menuju ke KOMTAR sambil membawa sepanduk dan melaungkan kata-kata bantahan.

Beliau berkata COPINGO merupakan gabungan 25 NGO mewakili kaum India termasuk jawatankuasa kuil, Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tamil dan persatuan estet serta ladang di Pulau Pinang.

Mengambil contoh isu SJKT Ladang Batu Kawan, Ganesan berkata enam memorandum telah dihantar bagi meminta kelulusan tanah seluas 1.21 hektar untuk pembinaan infrastruktur tambahan seperti padang permainan dan dewan sekolah, namun sehingga kini tiada jawapan positif diterima.

Berhubung isu pengusiran pekerja ladang di Kampung Mutiara, Kampung Sethu,  Ladang Batu Kawan Estet Caledomia, Estet Victoria dan Ladang Byram beliau meminta kerajaan negeri campur tangan untuk mengatur penempatan semula selain menyediakan peluang pekerjaan untuk mereka yang terlibat.

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini lebih 1,000 pekerja ladang terlibat menerima tekanan dan diminta keluar dari estet berkenaan kerana tanah di lokasi itu akan dimajukan. Memang itu bukan tanah mereka tapi bantulah mereka cari jalan penyelesaian,”  katanya. — Bernama

Advertisement