Anda di sini

MH370 tersasar dari laluan asal: Najib

Advertisement

MAKLUMAT TERKINI: Najib pada sidang media berhubung pesawat MH370 semalam. Turut hadir
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) dan Ketua Pengarah
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman. — Gambar Bernama

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan radar utama merupakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Katanya, pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing itu tersasar dari laluan asal Sabtu lalu dan hilang.

Walaupun terdapat laporan media mengenai kemungkinan pesawat itu dirampas, Najib menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan sehingga kepada apa yang menyebab kan penerbangan MH370 tersasar dari laluan penerbangan asalnya.

Beliau berkata, pihak berkuasa dan pasukan penyiasat juga memperoleh data baharu berkenaan kali terakhir pesawat itu berhubung dengan satelit, dan ini membuka satu fasa baharu bagi operasi mencari termasuk menamatkan operasi di Laut China Selatan dan menilai semula penugasan aset-aset.

“Hari ini (semalam) berdasarkan data satelit belum diproses, yang diperoleh daripada penyedia perkhidmatan data satelit, kami boleh mengesahkan bahawa pesawat yang ditunjukkan dalam data radar utama itu adalah penerbangan MH370,” katanya ketika membacakan kenyataannya dalam taklimat media yang diadakan di Hotel Sama-Sama di sini semalam.

Selepas banyak kajian forensik dibuat dan perbincangan mendalam diadakan, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), National Transportation Safety Board (NTSB), Air Accidents Investigation Branch (AAIB) dan pihak berkuasa Malaysia, yang mengkaji data itu secara berasingan, memberi pendapat yang sama, katanya.

Berikutan perkembangan itu, Najib berkata Malaysia dan rakan antarabangsanya memutuskan bahawa komunikasi kali terakhir antara pesawat itu dengan satelit, berlaku di salah satu daripada dua koridor – utara atau selatan.

Kemungkinan dua koridor itu adalah satu koridor utara yang menganjur lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand atau koridor selatan yang menganjur dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.

“Pasukan siasatan sedang berusaha memperhalusi maklumat ini,” katanya.

Najib berkata, menurut data baharu itu, kali tera­khir pesawat itu dan satelit berkomunikasi ialah pada jam 8.11 pagi waktu Malaysia, Sabtu, 8 Mac.

“Pasukan penyiasat sedang membuat kiraan selanjutnya untuk mengetahui hingga sampai ke mana pesawat itu mungkin terbang selepas kali terakhir ia mempunyai hubungan. Ini akan mem­bantu kami memperhalusi usaha mencari.

“Berikutan jenis data satelit yang ada, kami tidak dapat mengesahkan lokasi tepat pesawat itu berada ketika kali terakhir ia membuat hubungan dengan satelit,” katanya.

Najib berkata, pihak berkuasa telah menjalankan operasi mencari di daratan, di Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi.

“Di setiap peringkat, kita bertindak berdasarkan maklumat yang disahkan dan kita mengikuti setiap petunjuk yang dipercayai. Kadangkala petunjuk ini tidak membawa ke mana,” katanya.

Beliau berkata, maklumat satelit yang baharu mempu­nyai impak yang signifikan dari segi sifat dan skop operasi mencari. “Kita bekerjasama dengan negara-negara berkai­tan untuk meminta semua maklumat yang relevan dalam usaha mencari termasuk data radar,” katanya.

Beliau berkata, memandan­gkan dua koridor baharu itu membabitkan banyak negara, kedutaan asing yang relevan dijemput menghadiri taklimat mengenai maklumat ba­haru oleh Kementerian Luar Malaysia dan pakar-pakar teknikal.

Najib juga mendedahkan bahawa berdasarkan maklu­mat satelit baharu, ia boleh dijelaskan dengan ‘kepastian tahap tinggi’ bahawa Sis­tem Pengendalian Komuni­kasi dan Laporan Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat itu sampai di kawasan pantai timur semenanjung Malaysia dan tidak lama selepas itu, ber­hampiran sempadan kawalan trafik udara antara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan.

“Mulai saat itu, radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia menunjukkan se­buah pesawat, yang diper­cayai – tetapi tidak disahkan – MH370 memang berpatah balik.

“Ia kemudian terbang semula ke arah barat mela­lui Semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut. Sepanjang tem­poh itu, sehinggalah ia hi­lang daripada liputan radar utama, pergerakan yang berlaku menunjukkan ia adalah hasil tindakan secara sengaja oleh seseorang yang berada dalam pesawat itu,” katanya. — Bernama

Advertisement