Anda di sini

KD Kasturi tunggu arahan lanjut Pusat Operasi TLDM

KUANTAN: Kapal KD Kasturi milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan terus membantu operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 sehingga menerima arahan selanjutnya daripada Pusat Operasi TLDM.

Pegawai Memerintah KD Kasturi Komander Mohd Zaidi Ibrahim berkata semua anak kapal mempunyai motivasi tinggi untuk meneruskan usaha menjejak pesawat itu, yang hilang sejak Sabtu lepas.

“Semua 158 anak kapal KD Kasturi termasuk pegawai, tidak berdepan sebarang masalah untuk terus menyertai operasi SAR ini.

“Sejak menyertai operasi SAR bersama kapal dari pelbagai negara pada Ahad lepas, kita tidak menemui sebarang kesan tumpahan minyak atau serpihan…kita masih tidak berputus asa.

Kapal KD Kasturi berlabuh di pangkalan itu bagi memuat naik bekalan makanan dan mengisi minyak selepas seminggu belayar menyertai operasi SAR di perairanLaut China Selatan.

Turut menyambut ketibaan kapal itu ialah Ketua Markas TLDM Wilayah 1, Laksamana Muda Datuk Azhari Abdul Rashid.

Selain memuat naik bekalan makanan mencukupi untuk tempoh dua minggu, sebanyak 180,000 liter minyak diesel turut diisi bagi membolehkan KD Kasturibelayar sejauh kira-kira 2,000 batu nautika.

Dalam pada itu, seramai 10 pemberita dibenarkan menaiki bot tempur TLDM sejauh kira-kira 15 batu nautika (40 kilometer) dari pangkalan itu untukmeninjau operasi SAR di kawasan Laut China Selatan, yang turut disertai anggotamaritim China Coast Guard.

Seramai empat anggota maritim China yang berada di atas kapal mereka kemudian melambai-lambai ke arah bot TLDM sebagai simbolik mereka masihmeneruskan operasi membantu TLDM dalam misi SAR berkenaan.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing dilaporkan hilang sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 pagi, Sabtu.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama. Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat, yang memasuki hari kelapan semalam, masih gagal mengesan pesawat itu. — Bernama