Anda di sini

Jentera BN perlu lebih agresif, tidak boleh pasif hadapi PRK Balingian

Advertisement

KUCHING: Jentera Barisan Nasional (BN) perlu lebih agresif dan tidak boleh kekal pasif meskipun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian yang bakal dipertandingkan pada Piilihan Raya Kecil (PRK) 29 Mac ini merupakan kubu kuat BN.

Setiausaha Agung BN Negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, meskipun rekod menunjukkan bahawa Balingian adalah kubu kuat BN, namun jentera BN tidak boleh mengambil mudah saingan daripada pihak pembangkang.

“Kami telah bersiap sedia untuk menghadapi PRK DUN Balingian dengan mengambil kira semua aspek termasuk pengalaman daripada PRK Sibu serta beberapa PRK yang pernah dilalui sebelum ini.

“Meskipun sudah menjadi budaya di Sarawak di mana kita bertanding secara budiman tetapi pada masa sama kita tidak boleh kekal pasif dan jika perlu bertindak lebih agresif bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat khas BN bersama Timbalan Pengerusi BN Pusat Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Timbalan Perdana Menteri di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Mengulas mengenai mesyuarat tersebut, Dr Rundi yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata Muhyiddin berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh jentera BN bagi menghadapi PRK DUN Balingian.

“Beliau (Muhyiddin) nampaknya gembira dengan persiapan serta berpuas hati dengan penerangan daripada kami dan seperti yang anda maklum kita di Sarawak mempunyai cara tersendiri ketika berhadapan dengan pilihan raya.

“Mereka (BN Pusat) juga nampaknya amat menghargai apa yang telah kita lakukan amnya PBB kerana kita telah membuktikan bahawa PBB  telah memenangi semua pilihan raya setakat ini,” tambahnya.

Menjelang PRK DUN Balingian, 29 Mac ini dengan hari penamaan calon adalah pada 17 Mac, BN menurut Dr Rundi akan bekerja sebagai satu kumpulan bersama dengan rakan-rakan parti komponen iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Profresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan PBB amnya.

Mesyuarat khas itu berlangsung selama hampir dua jam dan turut dihadiri oleh Pengerusi BN Negeri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem merangkap Presiden PBB serta Ketua Menteri.

Turut hadir dua Timbalan Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg serta yang lain.

Advertisement