Anda di sini

Ibu bapa perlu nasihat anak jangan sebar spekulasi MH370

Advertisement

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengingatkan ibu bapa supaya memantau dan menasihatkan anak-anak mereka agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada Sabtu lepas.

Beliau berkata pemantauan dan nasihat daripada ibu bapa perlu memandangkan perbuatan sedemikian sama ada melalui laman sosial atau medium lain adalah perlakuan tidak sihat.

“Apa yang paling mustahak ialah ibu bapa seharusnya menasihatkan anak-anak mereka supaya jangan membuat spekulasi kerana ia tidak sihat untuk negara kita, untuk (keadaan) ketika ini, di mana kaum keluarga penumpang pesawat (masih) berada dalam keadaan sedih.

“Seharusnya kita bersama-sama merasai kesedihan itu, menyelami perasaan mereka dan terus bersama-sama berdoa supaya kapal terbang itu dapat dijumpai dalam kadar segera,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam rancangan ‘Apa Kata Wanita’ terbitan RTM, yang dihoskan oleh Zamzarina Zamri di sini semalam.

Rosmah turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu hati dan bersama-sama mendoakan agar usaha mencari dan menyelamat pesawat itu berjaya.

“Sekiranya kita betul-betul rakyat Malaysia yang sayangkan negara ini… Bersama-samalah kita bersatu hati dan terus berdoa supaya kapal terbang itu dijumpai dalam keadaan apa sekalipun,” katanya.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 pagi, Sabtu.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat, yang memasuki hari kelapan hari ini, masih gagal mengesan pesawat itu. — Bernama

Advertisement