Anda di sini

Banyak syarikat berminat melabur di Samalaju

Advertisement

Biarpun SCORE masih awal, tujuh projek besar dengan 7,200 pekerjaan sudah beroperasi: Adenan

KUCHING: Sebanyak 18 syarikat dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah RM29.4 bilion mengesahkan untuk menanam modal di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) setakat Mac tahun ini.

Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, pelaburan daripada syarikat antarabangsa itu akan menjana 16,000 peluang pekerjaan secara langsung.

Daripada jumlah keseluruhan itu, menurutnya, tujuh projek dengan nilai pelaburan RM15.68 bilion dan menjana 7,200 peluang pekerjaan sudah mula beroperasi atau masih dalam pelbagai peringkat pembinaan.

“Biarpun SCORE masih berada pada fasa pertama, banyak syarikat antarabangsa sudah mula menunjukkan minat untuk melabur di Samalaju.

“Sehingga Mac tahun ini, sebanyak 18 syarikat dengan nilai pelaburan RM29.4 bilion dengan 16,000 peluang pekerjaan diluluskan,” katanya merasmikan Pameran Latihan dan Karier Sarawak 2014 (SCaT Fair 2014) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.

Adenan menjelaskan, kewujudan SCORE juga akan menjana lebih banyak bidang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam pelbagai industri.

Ketika ini, menurutnya lagi, kadar pengangguran di Sarawak kira-kira 3.5 peratus.

“Keadaan ini (kadar pengangguran) bukan disebabkan nasib sebaliknya ekonomi kita berkembang positif.

“Ia (ekonomi berkembang) membolehkan lebih banyak perniagaan dibuka dan pada masa sama menyediakan peluang pekerjaan.

“Kita mahu mengekalkan perkara ini (kadar pengangguran rendah) terutama menerusi kewujudan SCORE,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adenan berkata, masyarakat perlu menyedari hakikat bidang teknikal dan vokasional mampu melahirkan modal insan yang berpendapatan tinggi.

“Kemasukan dalam institusi Latihan Vokasional dan Teknikal (TEVT) meningkat positif daripada 67 peratus pada 2012 kepada lebih 75 peratus tahun lepas,” jelasnya.

Hadir sama Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Saleh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.

Sementara itu, tetamu yang menghadiri majlis perasmian program semalam bertafakur seminit untuk keselamatan 239 penumpang dan anak kapal pesawat MAS MH370 yang hilang dan 19 pekerja dua buah kilang yang meletup di Serian.

Untuk itu, Jabu meminta semua tetamu yang hadir berdoa mengikut kepercayaan masingmasing untuk keselamatan penumpang MH370 dan keluarga penumpang yang terjejas.

“Mari kita berdoa untuk keselamatan penumpang MH370 dan mangsa letupan kilang di Serian. Kita juga berdoa mengikut kepercayaan masingmasing,” katanya.

Advertisement