Anda di sini

Umum segera tarikh bina sekolah

Advertisement

KUCHING: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri See Chee How berharap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat segera mengumumkan tarikh pembinaan sekolah menengah di Balingian.

Menurutnya, pembinaan sekolah menengah di kawasan itu merupakan janji semasa Pilihan Raya Negeri dan Parlimen lalu.

“Serentak dengan kunjungan beliau (Muhyiddin) ke Mukah untuk mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, adalah penting untuk beliau membuat pengumuman mengenai tarikh pembinaan sekolah menengah di Balingian.

“Sekolah menengah di Balingian merupakan keutamaan penduduk di sana (Balingian) dan saya berharap Muhyiddin dapat menunaikan janji,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau yang juga ADUN Batu Lintang berkata, pelajar dari Balingian terpaksa menuntut di sekolah menengah di Mukah yang terletak kira-kira 60 kilometer dari kawasan terbabit.

See menambah, Balingian juga masih menghadapi masalah bekalan air.

Menurutnya lagi, ‘gula-gula’ akan mula diberikan kepada penduduk Balingian dalam usaha untuk memastikan BN menang di kawasan itu.

Ia termasuk pemberian geran tanah dan kelulusan permohonan tanah yang merangkumi 530 lot yang diberikan iaitu di Kampung Litong, Kampung Bunut, Kampung Teh, Kampung Teh Labak dan Kampung Sungai Alo, kesemuanya di Mukah.

Manakala 151 permohonan tanah diluluskan semasa satu acara pada 11 Mac lepas.

Menurut See, penduduk di perkampungan tersebut selama ini tidak diberikan geran tanah biarpun sudah menetap sejak beberapa generasi.

Advertisement