Anda di sini

Seluruh rakyat Malaysia tidak harus berputus asa

Advertisement

SIBU: Meskipun tujuh hari berlalu sejak pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 hilang, namun seluruh rakyat Malaysia terutama ahli-ahli keluarga penumpang serta anak kapal pesawat itu tidak harus berputus asa.

Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh berkata beliau berharap tiada perkara buruk berlaku kepada pesawat meskipun sudah tujuh hari pesawat itu hilang.

“Saya berharap tiada perkara buruk berlaku kepada pesawat MH370 ini meskipun selepas tujuh hari hilang.

“Kita berdoa agar pesawat dapat ditemui segera dan semua penumpang serta anak-anak kapal termasuk Andrew Nari selamat,” katanya kepada pemberita di sini, petang semalam.

Wong terdahulu ditemui selepas menghadiri upacara sembahyang khas untuk pesawat MH370 dan Andrew di Rumah Catherine Tamoh, Sungai Aup. Andrew merupakan anak sulung Catherine dan Ketua Pramugara pesawat MH370 dari KLIA ke Beijing, China itu.

Hadir sama isteri beliau Datin Sri Pauline Leong, Temenggung Sir Adrian Ringgau, Pemanca Stanley Geramong, Setiausaha Politik Ketua Menteri Pau Kiew Chuang serta ayah saudara Andrew, Augustine Liom.

Upacara sembahyang khas bermula jam 3.45 petang itu diketuai oleh Father Vergeer dari Gereja Katolik Sacred Heart turut disertai lebih 100 jemaah.

Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat berharap keluarga penumpang dan anak kapal pesawat terus tabah serta kuat dalam menghadapi apa juga keadaan.

“Kita berharap pesawat ini dapat ditemui dan penumpang serta anak kapal selamat. Marilah kita semua berdoa kepada Tuhan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kehidupan harus diteruskan dan kejadian pesawat hilang itu merupakan satu kejadian yang amat jarang berlaku.

“Kejadian seperti ini berlaku sekali sekala dan kita amat yakin dengan syarikat penerbangan MAS,” katanya sambil meminta semua pihak berdoa agar Andrew selamat pulang.

Advertisement