Anda di sini

Pegawai SPR diperintah bela diri tuduhan guna dokumen palsu

Advertisement

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan seorang pegawai diplomatik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membela diri atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu membabitkan pembekalan kenderaan bagi kegunaan pemerhati asing semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), dua tahun lepas.

Hakim M.Bakri Abd Majid memutuskan perkara itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas Muhammad Firdaus Mohd Ramli, 35.

Mahkamah menetapkan 5 Mei ini untuk tertuduh membela diri.

Muhammad Firdaus didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu surat SPR bertarikh 15 Okt 2012 bertajuk ‘Pembekalan Kenderaan Bagi Kegunaan Pemerhati Asing Semasa Pilihanraya Umum ke-13’ di Restoran Al-Rawsha, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur dekat sini, pada 2 petang, 15 Okt 2012.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, perunding projek, Fizal Kamarudin @ Fauzi, 34, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan meminta suapan RM300,000 daripada seorang pemilik syarikat pelancongan, dua tahun lepas.

Fizal didakwa meminta suapan daripada Mohd Noor Mukhid kononnya Muhammad Firdaus boleh membantu syarikat itu dilantik sebagai pembekal kenderaan bagi kegunaan pemerhati asing pada PRU-13 dan kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Nasi Kandar di Taman Dato’ Ahmad Razak, Jalan Kolam Air, Ampang, Hulu Langat, dekat sini pada pukul 9.30 pagi, 14 Okt 2012.

Selain itu, Fizal dan Muhammad Firdaus turut dilepas dan dibebaskan daripada satu lagi pertuduhan iaitu bersama-sama menerima rasuah RM80,000 daripada Mohd Noor sebagai upah kononnya kerana membantu syarikat berkenaan dilantik sebagai pembekal kenderaan bagi kegunaan pemerhati asing ketika PRU-13.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran Al-Rawsha pada 1 tengah hari, 17 Okt 2012.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Hakim M.Bakri membuat kedua-dua keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Seramai 13 saksi pihak pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Afifah Yusof sementara Fizal diwakili peguam Geethan Ram Vincent dan Muhammad Firdaus diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin. — Bernama

Advertisement