Anda di sini

Parti bertanding di Balingian perlu patuhi undang-undang pilihan raya

Advertisement

MUKAH: Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Salleh Mat Rashid memohon parti-parti yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hujung bulan ini serta masyarakat setempat agar mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Salleh memberitahu, undang-undang pilihan raya bertujuan untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan sentiasa terpelihara.

“Bagi saya ini amat penting. Kalau parti-parti yang bertanding mematuhi udang-undang dan peraturan, kita tidak akan menghadapi apa-apa masalah khususnya mengenai keselamatan.

“Bagi rakyat tempatan khususnya masyarakat di sini, saya yakin (berdasarkan) pengalaman lalu tiada masalah seperti Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas yang berjalan begitu lancar dan baik.

“Saya nasihatkan kepada mereka yang datang dari luar Mukah ataupun luar Sarawak supaya bekerjasama mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada. Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya ada mana-mana pihak tidak mematuhi undang-undang dan peraturan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat PRK DUN N.51 Balingian bersama Ketua Polis Daerah (KPD) Mukah DSP Omar Bakhtiar Yacoob di Ibu Pejabat Polis (IPD) Mukah, petang semalam.

Salleh berkata, jumlah anggota polis yang bertugas pada PRK DUN Balingian adalah mencukupi dan pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita mendapat bantuan daripada anggota luar Sarawak bagi membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama dari segi ketenteraman awam.

“Polis juga sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku bagi menjamin ketenteraman awam,” katanya.

Turut hadir Komander Briged Pegawai Pergerakan Am Isa Munir dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Law Hong Soon.

Beliau turut menasihati parti-parti bertanding yang hendak mengadakan ceramah dalam tempoh kempen selepas penamaan calon agar membuat permohonan dengan segera.

“Ini kerana KPD Mukah dapat memberi nasihat dan memutuskan sama ada ceramah berkenaan sesuai dijalankan pada tarikh, masa dan tempat berkaitan sebab sebagai KPD, dia akan melihat sudut-sudut yang boleh menjejaskan keselamatan.

“Permohonan hendaklah dikemukakan seberapa segera yang boleh supaya polis dapat menyelaras dan meletakkan anggota-anggota untuk membuat pemantauan keselamatan semasa ceramah dijalankan,” katanya.

Salleh berkata, Akta Perhimpunan Aman tidak digunakan sepanjang tempoh kempen, cuma sebelum penamaan calon akta tersebut akan berkuat kuasa, justeru sebarang perhimpunan dan perarakan mesti mengikut peraturan.

Advertisement