Anda di sini

Liga Super: Alberts buntu mencongak strategi bertemu Lions XII malam ini

Advertisement

BERLATIH: Ryan (dua kanan) menjalani latihan hari pertama menyertai Sarawak di Stadium Negeri semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts buntu mencongak percaturan yang bakal digunakan untuk melayan kunjungan juara Liga Super 2013, Lions XII pada pertemuan di Stadium Negeri malam ini.

Ini ekoran kehilangan beberapa pemain termasuk penyerang import, Milorad Janjus dan Muamer Salibasic akibat kecederaan.

Seorang lagi penyerang import, Alireza Abbasfard telah digugurkan kerana mempamerkan aksi hambar.

“Saya masih belum menetapkan pemain yang akan diturunkan. Beberapa pemain masih perlu diuji tahap kecergasan sebelum benar-benar dapat diturunkan,” katanya di sini semalam.

“Namun, apa yang pasti Milorad dan Muamer tidak akan diturunkan pada perlawanan tersebut kerana masih mengalami kecederaan.

“Ini satu tamparan buat Sarawak kerana kita perlu memastikan kemenangan pada perlawanan ini bagi memperbaiki kedudukan dalam liga,” katanya.

Menurut Alberts, beliau perlu memastikan pemain yang benar-benar cergas diturunkan kerana mereka bakal berhadapan pasukan yang cukup hebat.

“Semua tahu Lions XII adalah sebuah pasukan yang hebat dan dibarisi ramai pemain berkualiti. Justeru, kita perlu memikirkan strategi terbaik untuk menewaskan mereka,” ujarnya.

Bagaimanapun, Alberts tetap yakin dengan kemampuan barisan sedia ada untuk memburu tiga mata penuh.

“Pesan saya agar pemain bermain dengan tenang, fokus dan jangan alpa terutamanya dalam memburu gol awal. Lions XII mempunyai ramai pemain berkualiti dan mampu meranapkan usaha kita memburu kemenangan jika tidak dikekang dengan baik,” katanya.

Sarawak dijangka menggandingkan Joseph Kalang Tie dan Rashid Aya di barisan hadapan bagi menggempur gawang Lions XII.

Sementara itu, pemain yang bakal menggantikan Alireza, Ryan Alan Griffiths tiba di Kuching kelmarin dan mula menjalani latihan bersama Sarawak semalam.

Advertisement