Anda di sini

Kawasan pencarian MH370 diperluas ke Lautan Hindi

Advertisement

SEPANG: Usaha mencari pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas terus dipergiatkan dan kini diperluaskan sehingga ke Lautan Hindi, meskipun kemungkinan untuk menyelamat semakin tipis.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menoleh ke belakang dalam usaha pencarian itu supaya perkembangan baharu dapat disampaikan kepada anggota keluarga yang terlibat.

“Saya sendiri susah nak berdepan dengan keluarga terlibat, lebih-lebih lagi tiada maklumat dan perkembangan yang boleh dimaklumkan kepada mereka,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 di sini, semalam.

Ditanya mengapa kawasan pencarian diperluas, Hishammuddin berkata: “Kami tidak menemui pesawat itu dalam kawasan yang diliputi.”

“(Ia adalah satu) perkembangan normal (untuk memperluaskan kawasan pencarian). Untuk kawasan berkenaan (yang diliputi kini), kami belum menemui apa-apa, kami meningkatkannya dari semasa ke semasa,” kata Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan.

Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memberi tumpuan kepada dua kawasan iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Hishammuddin berkata, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), yang membantu menganalisis data kasar daripada pihak ketenteraan, memberitahu bahawa Malaysia telah membuat keputusan yang betul untuk memberi tumpuan kepada kedua-dua kawasan itu. — Bernama

Advertisement