KUALA LUMPUR: Tiga kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Selangor ditutup berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang melebihi bacaan 300.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata tiga kem berkenaan ialah PLKN Paya Indah di Kuala Langat, PLKN Jugra di Banting dan PLKN Princess Haliza di Sepang.
“JLKN dengan persetujuan Kementerian Pertahanan telah memutuskan kem-kem terbabit menamatkan latihan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata sejumlah 863 pelatih dari kem terbabit dihantar ke Pusat Menurun Pelatih manakala 361 pelatih dari Sabah dan Sarawak akan ditempatkan sementara di kem lain sebelum dijadual pulang Selasa ini.
Sejumlah 32,000 pelatih Kumpulan 1 Siri 11/2014 akan menamatkan latihan pada Isnin depan (17 Mac).
Sementara itu, di PELABUHAN KLANG, perkhidmatan feri di Jeti Pulau Ketam beroperasi mengikut jadual tanpa berlaku sebarang kelewatan atau terpaksa ditunda meskipun jerebu teruk melanda kawasan berkenaan.
Pengusaha ASA Palmilk (M) Sdn Bhd Azrin Shaari berkata setakat ini, perkhidmatan feri miliknya tidak mengalami sebarang masalah walaupun jarak penglihatan di perairan sedikit terhad akibat jerebu.
“Jerebu memang kuat sedikit tetapi tidak menghalang aktiviti harian orang ramai dan penumpang yang mahu ke destinasi masing-masing iaitu ke Tanjung Balai dan Dumai di Indonesia,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata berikutan masalah jerebu, pihak Lembaga Pelabuhan Klang turut membantu dengan menyediakan bot pengiring bagi memastikan penumpang serta feri miliknya berada dalam keadaan selamat.
“Kami menerima arahan daripada Lembaga Pelabuhan Klang bahawa setiap pelayaran feri akan disertai sebuah bot yang kita panggil ‘pilot’ bagi mengiringi feri sehingga ke sempadan negara.
“Penggunaan pilot ini telah dikuatkuasakan sejak seminggu yang lepas, dan saya sebagai pengusaha feri di sini amat menghargai langkah yang diambil Lembaga Pelabuhan Klang demi keselamatan semua penumpang,” katanya.
Seorang penumpang, Halitmar, 39, berkata walaupun keadaan berjerebu namun perkara itu tidak menghalang beliau meneruskan perjalanan ke Indonesia.
“Mungkin kami di Indonesia sudah biasa dengan keadaan begini, jadi bila ada masalah jerebu ia bukan satu masalah besar bagi kami… seperti saya (yang merupakan) peniaga, sukar jika terpaksa menunda perjalanan,” katanya yang kerap berulang-alik ke Malaysia menaiki feri.
Bagi seorang peniaga kedai makan, Che Pah Ayob, 45, jerebu yang melanda kawasan Pelabuhan Klang sedikit sebanyak menjejaskan perniagaannya.
“Dua tiga hari lepas adalah juga pelanggan yang datang dan duduk makan di kedai ini, tetapi hari ini (pelanggan) agak kurang.
“Ada (pelanggan) yang datang hanya beli dan bungkus sahaja, yang datang singgah minumpun kebanyakkannya pemandu lori kontena yang kebetulan lalu di sini,” katanya. — Bernama