Anda di sini

Harapan tinggi dan doa warga Kuching agar MH370 selamat

Advertisement

HARAPAN KAMI: Dr Sim bersama pengunjung yang lain bersama-sama melepaskan belon ‘Harapan dan Doa’ ke udara. — Gambar Kong Jun Liung

KUCHING: Warga bandar raya ini bersama-sama berdoa dan menyimpan harapan yang tinggi agar pesawat MH370 milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang Sabtu lalu, selamat dan dapat dijumpai.

Meskipun sudah memasuki hari keenam kehilangan pesawat itu semalam, lebih 200 warga kota berkumpul di tempat parkir kereta Crown Squre di sini kelmarin bagi berdoa sebagai tanda sokongan serta memberi semangat kepada ahli-ahli keluarga penumpang pesawat terbabit.

Program anjuran bersama secara sukarela oleh komuniti bandar raya ini mendapat perhatian daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

Program diadakan secara ringkas, dengan melakarkan nama pesawat ‘MH370’ menggunakan surat khabar lama yang dibentuk dalam lingkaran hati dan dihiasi dengan cahaya lilin serta belon.

Malah, warga kota yang mengunjungi kawasan itu turut berpeluang menulis harapan dan doa mereka pada belon tersebut.

Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Prof Dr Sim Kui Hian antara pengunjung yang hadir berkata, insiden itu amat dekat di hatinya kerana beliau antara orang yang sering berulang-alik menggunakan kapal terbang.

“Saya antara penumpang yang kerap menggunakan penerbangan MAS dan saya terbang setiap minggu,” katanya semasa memberi kata-kata semangat dan galakan kepada warga kota untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan keluarga dan penumpang pesawat MH370 pada program itu malam kelmarin.

Beliau memberitahu insiden itu banyak memberi pengajaran dan pengalaman kepada masyarakat khasnya tentang kehidupan.

“Apabila ia terjadi barulah kita menyedari betapa pentingnya masa lalu dan menghargainya. Saya berharap kita terus berdoa untuk keselamatan penumpang MH370 dan kesejahteraan kepada ahli keluarga mereka yang terlibat,” tambahnya.

Pada masa sama, Dr Sim menggesa agar masyarakat khasnya pengguna laman sosial menghentikan dan tidak menyebarkan maklumat tidak tepat serta andaian sendiri bagi menjaga dan menghormati perasaan keluarga penumpang yang terlibat.

“Marilah kita bersama-sama mengharapkan agar pesawat ini berjaya ditemui dalam keadaan selamat,” ujarnya.

Dalam program itu kelmarin, pengunjung turut menjalankan upacara melepaskan belon yang tertulis harapan dan doa masing-masing ke udara.

Advertisement