Anda di sini

Empat lelaki didakwa edar, buat salinan langgaran drama bersiri

Advertisement

GEORGE TOWN: Empat lelaki yang masing-masing menghadapi 51 pertuduhan mengedar dan membuat 1,405 salinan langgaran drama bersiri dua tahun lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Goh Gim Liang, 41, Choo Khang Wei, 31, Tew Chin Seng, 36, dan Tan Seik Peng 43, didakwa melanggar hak cipta milik Television Broadcast Limited dan Multimedia Entertainment Sdn Bhd.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Tingkat 6, Park View Tower, Harbour Place Jalan Chain Ferry, Butterworth dekat sini, antara 17 Julai 2012 dan 18 Okt 2012.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 41(1)(c) Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai dan menetapkan 21 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir manakala Goh diwakil peguam S. Parameswaran, Choo diwakili peguam A. Vasudevan dan Tan diwakili peguam R. Ramesh manakala Tew tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement