Anda di sini

Chew ikrar jadi pembangkang konstruktif dalam DUN Selangor

Advertisement

KAJANG: Barisan Nasional (BN) semalam melancarkan ‘ikrar dan janji Mei Fun’ mengandungi empat perkara utama, antaranya memperbetulkan masalah hal ehwal tempatan dan menjadi pembangkang yang konstruktif kepada kerajaan Selangor di Dewan Undangan Negeri.

Calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun ketika membacakan ikrar berkenaan berkata, ia turut mengandungi janji bagi memperkuatkan peranan sebagai pengimbang kepada kerajaan negeri dan bakal menjadi alternatif manifesto yang ditawarkan parti lawan.

Selain itu, sekiranya berjaya mendapat mandat rakyat Kajang pada 23 Mac ini, Chew turut berikrar untuk memainkan peranan sebagai duta muhibbah, sekali gus memperkukuh perpaduan rakyat yang dilihat agak longgar ketika ini.

Menjelaskan lebih lanjut ikrar itu, Chew dalam sidang media selepas itu berkata ia dibuat hasil pemantauan dan turun padang beliau selama 20 hari, sejurus kerusi DUN Kajang dikosongkan penyandangnya Lee Chin Cheh pada 27 Jan lepas.

“Ikrar ini saya tidak buat suka-suka tetapi ia dirumuskan hasil pemantauan dan perjumpaan bersama penduduk berdasarkan keperluan yang diingini mereka,” katanya.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Naib Presiden Gerakan Dr Dominic Lau Hoe dan Ketua Umno Hulu Langat Datuk Johan Abdul Aziz.

Mengulas perkara itu Liow berkata sebagai presiden parti beliau akan memastikan setiap ikrar yang dibuat Chew ditunaikan apabila Naib Presiden MCA itu dipilih sebagai wakil rakyat di Kajang.

Beliau berkata ia adalah berbeza dengan manifesto yang dijanjikan calon lawan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana PKR selaku peneraju kerajaan pakatan pembangkang di Selangor sebenarnya tidak perlu mengemukakan manifesto baharu.

Liow berkata penggunaan manifesto baharu itu juga jelas menunjukkan Dr Wan Azizah, yang juga Presiden PKR tidak yakin dengan kemampuan kerajaan negeri untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan dalam pilihan raya umum lepas.

“Pelancaran manifesto baharu PKR di Kajang merupakan satu tamparan kepada kerajaan Selangor, bukti Dr Wan Azizah tahu kerajaan negeri gagal menyelesaikan masalah rakyat sehingga memaksa satu manifesto khusus untuk Kajang dibuat,” katanya. — Bernama

Advertisement