Anda di sini

1,441 kes pembakaran terbuka dikesan Jan-13 Mac lepas

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,441 kes pembakaran terbuka dikesan bagi tempoh Januari sehingga 12 Mac lepas dengan sebahagian besar daripada jumlah itu membabitkan kes kebakaran kawasan pertanian dan hutan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel berkata, kawasan pertanian mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 491 kes, diikuti kawasan hutan yang mencatatkan sebanyak 296 kes.

“Kawasan industri mencatatkan 18 kes, kawasan pembinaan (47), tapak pelupusan sampah (25), kawasan belukar (294) dan lain-lain pembakaran terbuka membabitkan 270 kes.

“Bagi tempoh yang sama sebanyak 119 kes pembakaran terbuka itu telah dikenakan tindakan kompaun, sementara 32 kes telah dikeluarkan notis amaran,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga sedang menyediakan 29 kertas siasatan bagi kes-kes pembakaran terbuka ini yang akan dibawa untuk tindakan mahkamah.

Kelmarin, Palanivel mengumumkan seluruh Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka berkuat kuasa serta-merta sehingga ke satu tarikh yang diberitahu kelak ekoran kemerosotan kualiti udara di negeri-negeri terbabit.

Dalam pada itu, sehingga 4 petang tadi kawasan Pelabuhan Klang, Selangor adalah paling terjejas selepas mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paras berbahaya iaitu 317.

Menurut bacaan IPU semasa yang dikeluarkan di laman web JAS, daerah Banting pula adalah kawasan kedua yang paling terjejas apabila mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 232.

Sementara itu, 11 kawasan lagi mencatatkan bacaan IPU tidak sihat antaranya Tanjung Malim (106), Petaling Jaya (173), Shah Alam (161), Kuala Selangor (119), Batu Muda, Kuala Lumpur (158), Cheras, Kuala Lumpur (131), Nilai (149), Seremban (137), Port Dickson (150), Bukit Rambai (123), Bandaraya Melaka (115). — Bernama

Advertisement