Anda di sini

Terus yakin dengan peranan Baitulmal Sarawak

Advertisement

MIRI: Masyarakat Islam diminta terus yakin dengan peranan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dengan terus menunaikan tanggungjawab mereka menjelaskan bayaran zakat.

Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie mahu sokongan baik yang diberikan oleh umat Islam kepada TBS selama ini diteruskan untuk memperluaskan peranan membantu golongan asnaf.

“Kita mahu memaklumkan kepada masyarakat bahawa TBS akan tetap melaksanakan peranannya selaku pengutip dan pengagih zakat seperti yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Benyerahan Bantuan TBS berjumlah RM14,723 kepada tujuh penerima di sini, petang semalam.

Menurut Shibli, penyaluran bantuan, permohonan dan pembayaran kepada TBS dilaksanakan sepanjang tahun.

Sepanjang tahun lalu, katanya, TBS berjaya mengutip sebanyak RM60 juta bayaran zakat dari masyarakat Islam dari seluruh Sarawak.

“Kita telah mengagihkan seba-nyak RM40 juta kutipan zakat dan bakinya adalah untuk beberapa keperluan-keperluan dalam kita melaksanakan tugas kita selaku pengutip zakat,” jelas beliau.

Zakat yang diterima, katanya, akan diagihkan kepada lapan golo-ngan asnaf iaitu golongan yang berhak menerima zakat.

Shibli berkata, bantuan dibahagikan kepada tiga program iaitu program pendidikan, program kebajikan dan program untuk membantu institusi Islam.

“Kami berharap masyarakat Islam akan terus yakin dengan peranan Baitulmal kerana kami akan tetap melaksanakan segala tanggungjawab seperti yang ditetapkan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak iaitu sebagai satu dasar untuk menentukan perjalanan organisasi ini,” ujar beliau.

Menurut Shibli lagi, cara pembayaran yang semakin mudah telah menarik minat umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

“Antara saluran yang mendapat sambutan yang baik ialah daripada mereka menggunakan potongan gaji. Pembayaran melalui poto-ngan gaji adalah kaedah yang begitu mudah sekali dan sebab itulah ramai yang sudah bekerja, pendapatan mencukupi dan memenuhi syarat telah membayar melalui zakat poto-ngan gaji,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Islam yang sudah mencukupi syarat untuk membayar zakat.

Beliau turut meminta kerjasama penduduk untuk memaklumkan kepada TBS tentang golongan asnaf di kawasan kediaman mereka.

“Kalau ada orang susah yang memerlukan bantuan, beritahu TBS, kita akan salur bantuan sekiranya mereka benar-benar berhak,” jelasnya.

Antara penerima sumbangan pada majlis semalam ialah bantuan kecemasan untuk Wan Mohamad Wan Bujang dan Lya Farhana Taha, bantuan fardu kifayah untuk Jawatankuasa Pengurusan Jenazah Masjid At Taqwa, bantuan kelengkapan surau untuk Surau Darul Tassim Kpg Katong Miri, Masjid Darul Ibadah Kampung Muhibbah, bantuan kewangan dan pembangunan dan kelengkapan surau untuk Surau SMK Tinjar Baram dan bantuan maahad tahfiz dari Surau Darul Hijrah Maahad Tahfiz Batu Telingai.

Hadir sama ialah KetuaTBS Miri Marini Juraibi dan Temenggung Abdul Rahman Fadzail.

Advertisement