Anda di sini

Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam

Advertisement

SELAMAT DATANG: Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin pada Majlis Santapan Malam disambut meriah. Turut kelihatan Taib dan Adenan.

KUCHING: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena lawatan baginda ke negeri ini di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri di sini, malam kelmarin.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 8.05 malam disambut Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib.

Hadir sama Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan isteri Puan Sri Jamilah Anu.

Pada majlis tersebut, Sultan Sharafuddin dihiburkan dengan persembahan hiburan serta tarian kebudayaan Sarawak.

Terdahulu, ketibaan baginda di Kuching pada kira-kira jam 9.30 pagi Rabu lalu disambut oleh Taib, Adenan Satem, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Kemudian, pada jam 2.50 petang baginda meluangkan masa kira-kira sejam setengah di Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Padawan.

Walaupun hujan, baginda tetap mencemar duli melihat sendiri orang utan dengan lebih dekat di tempat tontonan yang sebelumnya perlu melalui denai hutan yang mengambil masa kira-kira sepuluh minit.

Keadaan cuaca bertukar cerah membuatkan baginda dapat menyaksikan orang utan jantan yang tertua dikenali sebagai Ritchie dengan saiz badan yang besar sebelum berangkat pulang ke Kuching untuk Majlis Santapan Malam.

Sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur hari ini, baginda menikmati makan tengah hari tertutup bersama Taib di Astana semalam.

Ia merupakan program terakhir dalam rangka lawatan kerja lima hari baginda ke negeri ini.

Advertisement