Anda di sini

Samalaju perlu kondusif, selamat

Advertisement

BINTULU: Mewujudkan kawasan pelaburan yang kondusif dengan infrastruktur dan kawalan keselamatan terbaik merupakan keutamaan penting diberikan kepada para pelabur projek-projek perindustrian di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) di sini.

Menteri Muda Pembangunan Estet Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, untuk tujuan itu pembangunan SIP akan dipantau dan perkembangannya akan dilaporkan kepada kerajaan dari semasa ke semasa.

“Keutamaan kita ialah mewujud dan memastikan persekitaran yang kondusif untuk para pelabur projek-projek di SIP. Tugas kita juga adalah untuk memantau berkenaan keselamatan, persekitaran kemudahan infrastruktur dan sebagainya.

“Setakat ini keadaannya baik, sehingga kini pelaburan yang kita terima berjumlah RM29.43 bilion dan mewujudkan 15,844 peluang pekerjaan daripada 18 projek di SCORE,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan SIP kali ketiga di Samalaju Lodge di SIP, semalam.

Ia merangkumi 14 projek di SIP dengan nilai pelaburan RM24.17 bilion mewujudkan 12,852 peluang pekerjaan, diikuti satu projek di Mukah dengan pelaburan RM0.6 bilion (800 peluang pekerjaan), Tanjung Manis (dua projek bernilai RM2.11 bilion dengan 1,692 peluang pekerjaan) dan Kidurong (satu projek dengan nilai pelaburan RM2.60 bilion mewujudkan 500 peluang pekerjaan).

Nansian berkata, pecahan pelaburan itu membabitkan 13 projek industri produk berasaskan logam dengan nilai pelaburan RM23.8 bilion yang mewujudkan 12,738 peluang kerja dan seterusnya dua projek bagi industri produk kimia dan kimia dengan pelaburan RM3.47 bilion mewujudkan 1,400 peluang pekerjaan.

Selain itu, katanya, satu projek untuk industri polimer dan petrokimia dengan pelaburan RM0.03 bilion mewujudkan 14 peluang pekerjaan, manakala dua projek pengeluaran makanan dengan pelaburan RM2.11 bilion mewujudkan 1,692 peluang pekerjaan.

Menurutnya lagi, ia merangkumi pelaburan domestik membabitkan lima projek dengan nilai pelaburan RM5.99 bilion iaitu 20.3 peratus mewujudkan 4,788 peluang pekerjaan, pelaburan asing membabitkan lapan projek dengan nilai RM17.40 bilion (59.2 peratus) mewujudkan 6,563 peluang pekerjaan dan pelaburan usaha sama untuk lima projek dengan nilai RM6.4 bilion(20.5 peratus) mewujudkan 4,493 peluang pekerjaan.

“Ini hanya membabitkan peluang mewujudkan pekerjaan tetap dalam industri dan bukan sektor pembinaan dalam kawasan SCORE,” jelasnya yang juga Menteri Muda Khidmat Masyarakat.

Beliau berkata, setakat ini dua pelabur telah beroperasi di SIP iaitu Tokuyama Malaysia Sdn Bhd dan Press Metal Bintulu Sdn Bhd, manakala yang lain masih dalam proses pembinaan dan perjanjian.

Dalam perkembangan lain, katanya, pembinaan Pelabuhan Samalaju juga adalah perkara yang diutamakan yang mana kerja-kerja tambatan kapal untuk fasa pertama dijangka siap pada April tahun ini.

“Bagi sistem keselamatan, kita turut menempatkan pasukan keselamatan 24 jam di SIP membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Darat masing-masing untuk kawalan keselamatan di laut, darat dan udara, termasuk kawalan keselamatan setempat (Polis Bantuan BDA) di bawah Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA),” katanya.

Turut hadir Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari dan Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Madang Usat.

Advertisement