Anda di sini

Plaza Pelangi sedia ruang sampaikan mesej dan doa

Advertisement

JOHOR BAHARU: Atas dasar keprihatinan, pusat beli-belah Plaza Pelangi di sini mengambil inisiatif menyediakan ruang kepada pengunjung untuk menyampaikan mesej dan doa berhubung kehilangan pesawat penerbangan MH370, Sabtu lepas.

Pengurus kompleks itu, Ishraqi Shah Abu Bakar berkata kertas-kertas mesej yang digantung pada ranting pokok mula diletakkan di ruang legar kompleks berkenaan dua hari lepas dan akan ditempatkan sehingga pesawat itu ditemui.

“Tujuan kami menyediakan ‘wishing tree’ ini adalah untuk memberi peluang kepada peniaga dan pengunjung meluahkan rasa simpati serta kata-kata semangat mereka,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ishraqi Shah berkata usaha tersebut juga merupakan cara pihaknya untuk berkongsi harapan bersama-sama keluarga yang terlibat dan setakat ini kira-kira 500 orang telah menyampaikan mesej dan doa mereka.

Beliau berkata pihaknya merancang untuk mengumpul dan membingkaikan kesemua kertas mesej tersebut untuk diserahkan kepada wakil Malaysia Airlines (MAS), di sini, pada Ahad.

Sementara itu, seorang pengunjung, Maslia Abdul Rahman, 40, berkata usaha pusat beli belah itu wajar dipuji kerana dapat memperlihatkan penyatuan rakyat negara ini dalam mengharungi musibah, tanpa mengira kaum dan agama.

“Bukan sahaja rakyat tempatan malah saya lihat rakyat asing juga ada menulis ucapan dan doa yang secara tidak langsung menunjukkan semua pihak peka dengan kejadian itu,” katanya. — Bernama

Advertisement