Anda di sini

Pemuda PBB Bukit Kota julang Piala Pusingan Fadillah Yusuf

Advertisement

LIMBANG: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PPB) Bukit Kota membuk­tikan kecemerlangan apabila menjuarai acara futsal sekali gus merangkul Piala Pusingan Ketua Pemuda PBB Negeri, Datuk Fadillah Yusuf bagi Zon 8 pada Kejohanan Futsal dan Badminton di sini.

Selaku juara mereka mem­bawa pulang RM800, pingat dan piala iringan manakala tempat kedua dimenangi Pemuda Batu Danau meneri­ma RM500, pingat dan piala iringan.

Tempat ketiga dimenangi Pemuda PBB Lambir mem­bawa pulang RM300, pingat dan piala iringan.

Sementara itu, Pemuda Bukit Sari muncul juara dalam saingan badminton mana­kala tempat kedua dimenangi Pemuda Bukit Kota dan keti­ga Pemuda Batu Danau.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM800, RM500 dan RM300, pingat dan piala iringan.

Secara keseluruhannya, Pemuda Bukit Kota men­gungguli hampir semua per­lawanan sekali gus mem­bolehkan mereka membawa pulang Piala Pusingan Ketua Pemuda PBB Negeri, Zon 8.

Hadiah kemenangan dis­ampaikan oleh Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah.

Hadir sama Penasihat Pergerakan Pemuda PBB Zon 8 yang juga Timbalan PBB Bukit Sari Kaunselor Awangku Jinal Abidin Pengi­ran Jawa, Pengerusi Pemuda Zon Utara merangkap Ketua Pemuda PBB Bukit Kota Kaunselor Sufian Mohat, exco Pemuda Negeri, Ketua Pemuda Batu Danau Elvis Mathew Bungsu, Naib Ketua Pemuda PBB Bukit Kota, Sahdan Mohidin dan Pegawai Daerah Limbang, Hamdiah Bakir.

Seramai 18 peserta setiap cawangan Zon 8 membabit­kan kawasan Bukit Sari, Ba Kelalan, Bukit Kota, Batu Danau dan Lambir menyertai kejohanan itu.

Sufian optimis kejohanan itu mampu mengetengahkan bakat-bakat baharu kalangan exco Pemuda dalam sukan badminton dan futsal selain wadah merapatkan silatu­rahim.

“Pada masa sama, kita juga mahu setiap exco Pemuda PBB dapat mengamalkan budaya gaya hidup sihat dan proaktif bukan sahaja dalam bidang politik tetapi aktiviti rekreasi dan kesihatan,” ka­tanya.

Advertisement