Anda di sini

Najib dijangka hadiri majlis makan malam mesra SDNU

Advertisement

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri majlis makan malam mesra bersama etnik Dayak anjuran Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU).

Bagaimanapun, tarikh majlis belum ditetapkan selain tempatnya di sini juga belum dimuktamadkan.

Namun, Naib Presiden I SDNU Anthony Banyan berkata, perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat SDNU yang dipengerusikan Presidennya yang juga Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom, semalam.

“Kami masih menunggu tarikh yang akan ditetapkan oleh Perdana Menteri sendiri tetapi beliau telah mengesahkan akan hadir.

“Dengan ini, sudah tentu masyarakat Dayak sangat bangga kerana ini adalah kali pertama Perdana Menteri menghadiri majlis makan malam bersama masyarakat Dayak,” katanya.

Hadir sama Pegawai Publisiti SDNU Ganchai Jinta.

Anthony menambah, jawatankuasa kecil penganjur majlis turut dianggotai oleh NGO dan persatuan Dayak lain di seluruh negeri.

Menurutnya, tujuan majlis adalah sebagai tanda penghargaan kepada Perdana Menteri di atas peruntukan sebanyak RM2 juta yang diberikan kepada SDNU pada Oktober tahun lepas untuk menjalankan aktiviti.

Turut dijangka menghadiri majlis ialah Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, anggota kabinet negeri serta NGO dan persatuan Dayak di seluruh negeri.

Berhubung perkara lain, Anthony berkata sayap wanita SDNU, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Sabtu ini di Hotel Penview.

Jelas beliau, mesyuarat dijangka menyaksikan pemilihan ahli jawatankuasa baharu.

“SIDS sekarang dipengerusikan oleh Dato Sri Empiang Jabu dan beliau dijangka akan menyertai pemilihan pada kali ini.

“Pemilihan adalah terbuka kepada semua ahli SIDS,” katanya.

Advertisement