Anda di sini

Kemudahan di tandas awam masih tidak mesra OKU

Advertisement

KUCHING: Pelbagai kempen berkaitan tandas bersih dilaksanakan oleh kerajaan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak beberapa tahun lepas untuk memasti-kan kebersihan tandas awam berada di tahap memuaskan.

Namun dalam kerajaan memberi penekanan kepada aspek kebersihan, penyediaan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) bagai dilupakan sehingga menimbulkan keluhan kepada golongan itu setiap kali menggunakan tandas awam.

Pengerusi Persatuan Cacat Penglihatan Malaysia (PCPM) Sarawak, Isak Ngau berkata tandas awam di negeri ini masih tidak mesra OKU selain tahap kebersihannya yang masih tidak memuaskan.

Katanya, amat payah bagi golo-ngan itu untuk menggunakan tandas awam kerana ia tidak memenuhi spesifikasi OKU yang bukan hanya terdiri daripada golongan cacat penglihatan dan buta, tetapi kecacatan fizikal memerlukan mereka bergerak menggunakan bantuan kerusi roda.

“Secara peribadi saya mendapati kualiti tandas awam di Sarawak masih kurang memuaskan, selain masih kotor, ruang tandas juga sempit menyukar pergerakan mereka yang menggunakan kerusi roda ditambah tiada tanda khas untuk OKU amat menyukarkan kami.

“Bagi yang cacat penglihatan pula, kami ragu-ragu untuk menggunakan tandas awam kerana bau busuk yang kuat membawa makna tandas itu kotor. Apa yang kami takut ialah terpijak benda yang kotor sebab ramai mereka yang meng-alami cacat penglihatan tidak boleh melihat sepenuhnya,” katanya.

Beliau mengakui memang ada tandas awam di sekitar bandar raya ini mempunyai tahap kebersihan yang memuaskan, tetapi ia tetap tidak mempunyai kemudahan bagi OKU menggunakannya, antaranya tiada laluan khas untuk pengguna kerusi roda dan pemegang khas di dalam tandas itu sendiri.

Tambahnya, tatkala PBT memen-tingkan perkhidmatan ditawarkan kepada golongan normal dan pelancong asing, mereka tidak seharusnya mengabaikan keperluan OKU serta berkeperluan khas.

Justeru, Isak meminta agar kerajaan membina sekurang-kurangnya satu tandas awam khas untuk OKU di bandar-bandar utama di negeri ini bagi kemudahan golongan berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo semalam di beberapa tandas awam di bandar raya ini mendapati dakwaan Isak sememangnya berasas.

Terdapat beberapa tandas awam yang tahap kebersihannya adalah memuaskan tetapi tidak menyediakan kemudahan untuk OKU antaranya laluan pengguna kerusi roda, pemegang khas di dalam tandas dan ruang yang agak sempit.

Advertisement