Anda di sini

Keluarga MH370 pasrah, sedia terima hakikat: KP JKM

Advertisement

PUTRAJAYA: Selepas lima hari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dilapor hilang tanpa kesan, beberapa keluarga dan kru penerbangan itu yang ditempatkan di Hotel Everly di sini menyatakan mereka sudah bersedia menerima apa juga kemungkinan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Datuk Norani Mohd Hashim kepada pemberita selepas melawat keluarga terbabit di hotel berkenaan semalam.

“Ada juga yang mahu pulang ke rumah kerana anak-anak lain juga memerlukan mereka.

“Kalau mereka mahu pulang kita tidak boleh halang sebab itu keinginan mereka. Kita kena hormat keputusan mereka,” katanya.

Sebanyak 107 orang daripada 38 keluarga ditempatkan di hotel itu sejak 9 Mac lepas bagi mengikuti perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat MH370, selain turut menerima khidmat kaunseling dan sokongan moral daripada kaunselor JKM dan sukarelawan pelbagai pertubuhan.

Menurut Norani, JKM juga menghantar kaunselor untuk memberi khidmat kaunseling kepada sebuah keluarga di Ipoh, Perak yang tidak mahu datang ke sini kerana ingin bersama anggota keluarga lain.

Pada awal Sabtu lepas, pesawat MAS Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing dilapor hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 pagi. — Bernama

Advertisement