Anda di sini

Kejohanan olahraga merupakan kemuncak semua aktiviti sukan

Advertisement

MIRI: Pembabitan golongan pelajar dalam bidang sukan bukan sahaja melahirkan pelajar sihat fizikalnya tetapi memiliki minda cergas.

Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin berkata konsep membangun modal in­san dan memperkasa sekolah melalui sukan amat bersesua­ian dan perlu diteruskan.

“Kejohanan olahraga merupakan kemuncak semua aktiviti sukan yang dijalankan di sekolah. Matlamat utama sukan ini adalah untuk men­gukur kemampuan pelajar bersukan di peringkat dae­rah dan seterusnya memilih atlet berkemampuan untuk mewakili daerah ke pering­kat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejo­hanan Olahraga Tahunan Majlis Sukan Sekolah Malay­sia (MSSM) Bahagian Miri di Stadium Miri, semalam.

Lee yang juga Menteri Muda Perhubungan menam­bah, aktiviti sukan mampu membangun modal insan berkualiti dan memiliki minda kelas pertama yang menjadi peneraju negara pada masa hadapan.

“Justeru, saya minta ibu bapa sentiasa memberi sokon­gan kepada anak-anak untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan selain sekolah dan tu­isyen. Mana tahu anak mereka mampu meraih kecemerlan­gan dalam bidang sukan yang diceburi seterusnya meng­harumkan nama negara,” katanya sambil mengambil contoh kejayaan Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, lebih 20 se­kolah menengah dan sekolah rendah sekitar Miri termasuk dari Bario, Marudi, Baram, Suai dan Subis mengambil bahagian pada kejohanan tersebut.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin mengumumkan pe­runtukan sejumlah RM15,000 kepada pengelola MSSM Daerah Miri bagi membiayai perbelanjaan atlet bertanding ke peringkat negeri.

Advertisement