
Joseph Kalang Tie
KUCHING: Penyerang Joseph Kalang Tie mahu menebus kesilapan dengan menghadiahkan kemenangan buat Sarawak pada perlawanan menentang juara Liga Super 2013, Lions XII di Stadium Negeri pada Sabtu ini.
Ujarnya, kegagalan menjaringkan penalti ketika Sarawak tumpas 0-2 menentang T-Team tempoh hari semakin menyemarakkan lagi semangatnya untuk membantu pasukan meraih tiga mata penuh.
“Sudah menjadi lumrah setiap pemain akan melakukan kesilapan dan saya telah menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Sokongan moral daripada Ketua Jurulatih Robert Alberts juga semakin membangkitkan semangat saya untuk menebus semula kesilapan tersebut,” katanya semalam.
Menurut Joseph, beliau dan rakan-rakannya telah bersedia untuk memastikan kemenangan pada malam esok sekali pun tanpa bantuan tiga pemain import.
“Mana-mana pasukan pun akan berdepan situasi sama dan ia lumrah permainan bola sepak. Apapun fokus kita adalah untuk memburu kemenangan dan pemain bersedia melakukan apa saja untuk mencapai impian tersebut.”
Mengulas mengenai peluang berdepan Lions XII, Joseph berkata Sarawak pernah menewaskan pasukan sama pada tahun lalu dan beliau pasti rekod itu dapat diulangi sekali lagi.
Sarawak akan turun tanpa khimat Alireza Abbasfard yang telah digugurkan.
Mereka juga akan beraksi tanpa Muamer Salibasic dan Milorad Janjus ekoran kecederaan yang berlarutan.
Alberts dijangka menggandingkan Joseph dengan Rashid Aya di barisan hadapan.