Anda di sini

JAIS tempatkan pegawai pantau KLIA elak bomoh lakukan ritual

Advertisement

SEPANG: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan meletakkan pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengelakkan bomoh melakukan ritual untuk mengesan kehilangan pesawat penerbangan MH370 sejak Sabtu lepas.

Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIS Hardi Mohd Sadali berkata pihaknya akan bekerjasama dengan anggota keselamatan di KLIA bagi memantau kegiatan itu daripada terus berulang.

Pemantauan itu akan dilakukan secara berterusan di lapangan terbang ini, katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di Anjung Tinjau di sini malam kelmarin.

Sepasukan 15 pegawai dan anggota daripada JAIS melakukan pemantauan di Anjung Tinjau selepas mendapat maklumat seorang bomoh, Ibrahim Mat Zin, 80, akan melakukan ritual kali kedua, malam kelmarin.

Pasukan penguat kuasa JAIS yang tiba kira-kira jam 9.20 malam, dilihat menunggu  kehadiran Ibrahim di Anjung Tinjau sebelum dilihat meninggalkan tempat itu pada jam 10.15 malam.

Tengah hari kelmarin, Ibrahim yang mendakwa ‘Raja Bomoh’, melakukan ritual ala-ala ‘tikar terbang’ bagi mengesan pesawat penerbangan MH370 yang disertai beberapa lelaki yang memegang dua biji buah kelapa yang tidak diketahui fungsinya.

Pada Isnin lepas, Ibrahim turut muncul di KLIA melakukan ritual menggunakan bubu mata pancing.

Hardi berkata jika Ibrahim terus melakukan ritual itu di KLIA, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadapnya di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

“Kita akan nasihat beliau supaya tidak melakukan ritual seperti yang dilakukan sebelum  ini. Jika dia (Ibrahim) masih berdegil, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kelmarin turut menyelar usaha beberapa pihak mendapatkan khidmat bomoh dalam usaha mencari pesawat penerbangan MH370, yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lepas, kerana langkah itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam. — Bernama

Advertisement