Anda di sini

Bombardier ke lokasi penemuan objek terapung

Advertisement

SEPANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengerahkan sebuah pesawat ke Laut China Selatan bagi menyiasat objek terapung yang dilapor dikesan oleh satelit China, tatkala operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 diperhebat.

“APMM sudah mengerahkan pesawat Bombardier untuk menyiasat dakwaan penemuan serpihan oleh satelit China,” kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi Twitter semalam.

Media melaporkan imej satelit memaparkan tiga objek terapung pelbagai saiz dengan yang terbesar dianggar bersaiz 22 x 24 meter.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 239 orang itu hilang pada awal pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 pagi.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Operasi mencari dan menyelamat besar-besaran membabitkan pelbagai negara di Laut China Selatan dan Selat Melaka sehingga kini masih belum membuahkan hasil.

Dalam satu lagi catatan Twitter, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan turut menafikan dakwaan bahawa keluarga penumpang MH370 tidak diterbangkan ke Malaysia tetapi ke India.

Katanya Malaysia Arlines melakukan penerbangan terus dari Beijing ke Kuala Lumpur, tanpa transit. — Bernama

Advertisement