Anda di sini

Aktiviti berburu berakhir tragedi

Advertisement

MAUT: Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Miri sementara menunggu proses bedah siasat.

MIRI: Keghairahan se­kumpulan empat lelaki keluar berburu berakhir tragedi apabila salah se­orang daripada mereka maut dipercayai ditembak rakan sendiri dalam ke­jadian di kawasan hutan Kelulit, Bekenu di sini malam kelmarin.

Mangsa yang mening­gal dunia dikenali sebagai Sulayman Sahak, 34, dari Kampung Keluru Tengah, Bekenu di sini.

Menurut sumber, pada malam kelmarin mangsa bersama tiga lagi rakannya keluar berburu di kawasan hutan tersebut dan setiba di lokasi yang dituju, mereka yang hanya membawa se­laras senapang patah telah berpecah empat dengan menuju arah berlainan un­tuk mengesan binatang buruan.

Salah seorang daripada mereka yang membawa senapang terbabit dipercayai telah tertembak mangsa kerana disangka binatang buruan.

Mangsa yang cedera parah di bahagian dada dan muka akibat terkena peluru pen­abur sempat berlari keluar dari kawasan hutan berk­enaan untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu menurut seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Man, sekitar jam 11 malam, dia bersama seorang rakannya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di kawasan berham­piran hutan berkenaan.

“Pada awalnya motosikal saya rosak, justeru meminta tolong seorang kawan untuk menyorongnya dan semasa dalam perjalanan, tiba-tiba kami terdengar bunyi let­upan kuat dari dalam hutan dan disusuli dengan jeritan seseorang.

“Tidak lama selepas itu, kami ternampak seorang lelaki berlumuran darah berlari keluar dari dalam hutan dan serentak itu kami datang membantu dengan menghantarnya ke Klinik Kesihatan Bekenu bagi men­dapatkan rawatan segera,” katanya.

Akibat kecederaan parah yang dialami, mangsa diru­juk ke Hospital Miri dan tiba di sini sekitar jam 12.50 tengah malam kelmarin bagi mendapatkan rawatan lanjut namun kemudian disahkan meninggal dunia sekitar jam 1.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung insiden tembak itu.

“Kita telah pun menerima laporan polis berhubung insiden itu dan kes disia­sat mengikut Akta Senjata 1960,” katanya.

Dalam pada itu katanya, seramai tiga individu telah menyerah diri dan mereka kini ditahan untuk diam­bil keterangan lanjut bagi membantu siasatan kes tersebut.

Advertisement