Anda di sini

VCD, DVD cetak rompak RM25,000 dirampas

Advertisement

GEORGE TOWN: Sebanyak 3,500 keping VCD dan DVD cetak rompak bernilai RM25,000 dirampas dalam serbuan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang di sebuah premis di Midlands Park, Pulau Tikus.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri Abdul Rosik Yakub berkata serbuan pada jam 2.20 petang Ahad itu adalah hasil risikan selama seminggu.

Barangan lain yang turut dirampas ialah sebuah mesin penyalin atau ‘burner’ yang dapat memproses 11 filem berlainan dalam tempoh 20 minit, peralatan mencetak dan komputer, katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Abdul Rosik berkata VCD serta DVD cetak rompak filem antarabangsa itu dijual dengan harga RM8 hingga RM10 sekeping selain turut dipasarkan ke negeri-negeri utara.

Beliau berkata pihaknya sedang memantau lebih 50 premis menjual serta memproses VCD dan DVD di seluruh negeri itu terutama di kawasan Seberang Perai dan akan bertindak jika terdapat bukti kukuh yang menunjukkan mereka terlibat dalam kegiatan cetak rompak. — Bernama

Advertisement