Anda di sini

UMS, Talisman meterai MoU dalam perkongsian biasiswa

Advertisement

SHARIL (kiri) dan Ron saling bertukar dokumen Mou

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Talisman Malaysia Limited menerusi program perkongsian biasiswa untuk lima tahun akan datang.

Naib Presiden Kanan Talisman merangkap Pengurus Tempatan Ron Aston berkata, program perkongsian itu bakal memanfaatkan 30 mahasiswa dan pasca siswazah untuk meneruskan pengajian dalam Kejuruteraan Petroleum, Kejuruteraan Kimia, Geologi dan Geofizik.

Katanya, usaha itu adalah antara komitmen Talisman untuk membangunkan masa depan generasi muda Sabah di samping menggalakkan pilihan kerjaya yang ditawarkan dalam industri minyak dan gas.

“Dalam mengasah bakat anak muda, kita melabur untuk masa depan negara ini dan sudah tentu Malaysia yang mempunyai pelbagai kumpulan minda muda bersedia untuk menyokong visi negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

“Saya berharap dengan adanya program pembiayaian biasiswa ini pelajar Sabah akan menunjukkan minat untuk menjadikan industri minyak dan gas sebagai pilihan kerjaya,” katanya pada majlis menandatangani MoU program perkongsian biasiswa antara UMS dan Talisman di Dewan Resital UMS, kelmarin.

Ron berkata, pihaknya yang lebih fokus kepada pendidikan itu akan mempertimbangkan semula untuk memberikan peluang kepada pelajar bagi mendapatkan pengalaman sebenar seperti aspek operasi ‘offshore’ di dalam industri terbabit.

Menerusi pemeteraian MoU itu, UMS menjadi universiti keempat yang terlibat dalam program pembiayaan Talisman selain Universiti Teknologi Malaysia dalam Kejuruteraan Kimia dan Petroleum, Universiti Malaya (Geology) dan Universiti Sains Malaysia (Geophysics).

Setakat ini, Talisman sudah menaja seramai 57 pelajar dengan RM2 juta menerusi program biasiswa terbabit manakala RM2.3 juta lagi diperuntukkan untuk membiayai 60 pelajar bagi tahun 2014 hingga 2018.

Turut hadir, Timbalan naib Canselor UMS Profesor Dr Shahril Yusof dan tetamu kehormat yang lain.

Advertisement