Anda di sini

Tawau rekod 53 panggilan kebakaran

Advertisement

SUASANA kebakaran hutan yang berlaku di kawasan Logpond, Tanjung Batu.

TAWAU: Sebanyak 53 panggilan kebakaran hutan, belukar dan lalang direkodkan antara Januari dan 10 Mac 2014 mengikut statistik semasa di daerah ini.

Menurut Ketua Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Rudy Fredzex, kebakaran hutan di Logpond Tanjung Batu adalah kes terbaharu yang direkodkan pasukannya.

“Sehingga kini, kita masih lagi berusaha memadam kebakaran hutan di kawasan itu yang setakat ini sudah terbakar seluas 40 ekar,” katanya menerusi kenyataan medianya, di sini Selasa lepas.

Rudy berkata, walaupun situasi kebakaran terbabit masih terkawal namun pasukannya memandang serius kes itu berikutan faktor musim kering dan kemarau yang berlaku.

Beliau turut menggesa masyarakat mengelak, mengawal atau mengurangkan aktiviti pembakaran terbuka untuk mencegah risiko peningkatan indeks pencemaran udara di Tawau.

“Dalam sesuatu kes kebakaran, kita berhadapan risiko lubang api yang tidak kelihatan di permukaan tanah, puting api dan perubahan angin yang mendorong api bertukar arah.

“Malah, kita juga terdedah kepada risiko ancaman asap dan ‘heat stroke’ akibat kepanasan melampau semasa operasi memadam kebakaran dijalankan,” katanya.

Rudy menyarankan anggota masyarakat supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah kerana keadaan cuaca panas dan kering serta banyakkan meminum air.

Menurutnya, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk memastikan kes-kes kebakaran dapati dielak sekaligus menjaga keselamatan harta-benda dan alam sekitar.

Advertisement