Anda di sini

Sumbangan LSC tidak ternilai

Advertisement

KUCHING: Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) Dato Patrick Liew memberitahu Lea Sports Centre (LSC) telah banyak menyumbang menjadikan Sarawak antara kuasa sukan tenis di negara ini.

Jelasnya, Sarawak telah melahirkan beberapa pemain tenis profesional yang telah menempa nama di pentas antarabangsa hasil dari tajaan berterusan LSC dalam program pembangunan remaja SLTA.

“SLTA telah berjaya melahirkan dua pemain profesional, Mohd Assri Merzuki dan Ariez Elyaas Deen Hesham yang sedang menjalani latihan di Amerika Syarikat,” katanya semasa sidang media penyerahan tajaan bagi Kejohanan Tenis Remaja Dunia ITF (Gred 1) Piala Ketua Menteri Sarawak (1) di SLTA semalam.

“Selain itu, kita juga telah melahirkan pemain terkemuka wanita kebangsaan Aslina Chua selain beberapa pemain remaja yang turut berpotensi untuk pergi jauh selepas ini.

“Semua pencapaian ini tidak akan tercapai tanpa sumbangan daripada LSC yang sentiasa berusaha bersama- sama dengan SLTA dalam mengembangkan program pembangunan tenis di Sarawak.”

Menurut Patrick, kerjasama erat dengan LSC sejak 1999 juga telah banyak membantu SLTA dalam meletakkan nama Sarawak di peta dunia melalui penganjuran tenis bertaraf antarabangsa.

“Untuk tahun ini sahaja, SLTA akan menganjurkan sembilan kejohanan bertaraf antarabangsa. Tanpa sokongan dari LSC, memang sukar bagi kita untuk menjayakan penganjuran kejohanan tersebut.

“Bagi pihak SLTA, saya ingin merakamkan penghargaan kepada LSC dan berharap kerjasama ini akan terus berkekalan demi memastikan sukan tenis terus berkembang di sini.”

Sementara itu, Pengarah Urusan LSC Raymond Sim yang hadir sama pada majlis berkenaan memberitahu pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan SLTA dalam mengembangkan sukan tenis di Sarawak terutama dalam program pembangunan remaja.

Katanya, setiap tahun LSC menaja sekitar RM70,000 hingga RM90,000 dalam bentuk pakaian dan peralatan sukan bagi para atlet yang terpilih.

“Memandangkan SUKMA 2016 semakin hampir, orang ramai meletakkan harapan tinggi terhadap atlet kita untuk memastikan Sarawak muncul juara.

“Justeru, kita perlu memastikan program pembangunan remaja diteruskan untuk merealisasi impian tersebut,” katanya.

Kejohanan Tenis Remaja Dunia ITF (Gred 1) Piala Ketua Menteri Sarawak (1) berlangsung dari 11-16 Mac di gelanggang SLTA dengan melibatkan penyertaan peserta dari lebih 30 negara.

Advertisement