Anda di sini

Sultan Selangor berkenan melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh

Advertisement

CENDERAMATA: Sultan Sharafuddin (dua kanan) melihat buku yang dihadiahkan oleh Pusat Hidupan Liar Sarawak semasa kunjungan baginda ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Padawan semalam. Turut kelihatan Sudarsono (kanan), Asfia (kiri) dan Lawson (dua kiri).

PADAWAN: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh di sini, semalam.

Walaupun hujan, baginda tetap mencemar duli melihat sendiri orang utan dengan lebih dekat di tempat tontonan yang sebelumnya perlu melalui denai hutan yang mengambil masa kira-kira sepuluh minit.

Sepanjang perjalanan dan di tempat tontonan tersebut, Sultan Sharafuddin telah diberi taklimat mengenai pelbagai spesies flora termasuk primat terbabit oleh Ketua Warden Hidupan Liar Oswald Braken Tisen.

Turut serta ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat, Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Datu Sudarsono Osman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Pentadbiran, Keselamatan dan Hal Ehwal Korporat Datu Misnu Taha.

Terdahulu, Sudarsono dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan penghargaan di atas perkenan Sultan Selangor berangkat mencemar duli ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak sentiasa berusaha memelihara dan memulihara alam semulajadi dalam meneruskan kelangsungannya demi kebaikan negeri ini.

“Sarawak komited menguruskan dan menjaga populasi hidupan liar serta sumber alam semula jadi seimbang dengan keperluan pembangunan dan ekonomi negeri ini.

“Bagi pengurusan spesies terancam, bukan hanya orang utan, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha (termasuk hidupan marin) yang telah membuahkan hasilnya seperti penyu laut, ikan lumba-lumba, dugong dan buaya,” jelasnya.

Sudarsono menambah, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memastikan usaha memelihara dan memulihara hidupan liar di negeri berterusan seperti ‘Heart of Borneo Initiative,’ program pendidikan dan banyak lagi.

Lawatan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh merupakan salah satu daripada program lawatan lima hari Sultan Sharafuddin ke negeri ini selepas merasmikan pembukaan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) sebagai Canselor Isnin lalu.

Kelmarin, baginda berkenan melawat Taman Negara Similajau bersama rombongannya.

Advertisement